Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular video yang merakamkan sekumpulan remaja yang dikenakan denda ketuk ketampi oleh pihak polis dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, semalam.
Remaja berkenaan yang dipercayai merupakan ‘geng basikal lajak’ dikenakan hukuman berkenaan kerana didapati melanggar peraturan jalan raya.
Video berkenaan bagaimanapun mencuit hati ramai dan bersetuju dengan tindakan yang dikenakan ke atas mereka.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kesemua remaja seramai 21 orang itu ditahan ketika sekatan jalan raya dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurutnya, tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 iaitu sekatan ke atas penunggang basikal an tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagaimanapun, seorang pegawai kanan JSPT Kuala Lumpur bersama seorang pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit.
“Remaja itu diberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas di sekatan jalan raya itu,” katanya.
Susulan tular video berkenaan juga katanya, ramai yang memuji pendekatan yang dibuat oleh pihak polis dan JPJ.
“Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kumpulan remaja terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan berkenaan.
“Advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik sekali gus memberi peluang untuk memperbaiki diri dan mengelakkan dari melakukan kesalahan yang sama di kemudian hari,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin dan memantau kegiatan anak-anak supaya tidak melakukan kesalahan yang boleh menyalahi undang-undang.
Sumber: Harian Metro








