Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Lelaki dakwa dipukul majikan ketika bekerja di kedai makan, gegendang telinga pecah akibat insiden
• Mangsa dituduh menipu berkenaan kad kehadiran sebelum dipukul dan dihalau keluar dari kedai
• Kakak mangsa luah kemarahan di media sosial, kecam sikap majikan yang didakwa bertindak ganas terhadap pekerja
Seorang lelaki berusia 21 tahun tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya dipukul oleh majikan ketika sedang bekerja di sebuah kedai makan di Alor Setar, Kedah.
Kejadian yang berlaku pada Selasa lalu itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan telinga. Pemeriksaan doktor kemudiannya mengesahkan gegendang telinganya pecah, dipercayai akibat ditampar dengan kuat.
Menurut laporan polis, mangsa yang dikenali sebagai Syafi Hakim Suid berkata dia telah dipanggil oleh majikan untuk berbincang tentang isu kad kehadiran. Namun, perbincangan itu bertukar tegang apabila dia dituduh menipu, sebelum dipukul secara bertubi-tubi.
“Dia terus menampar dan menumbuk saya di bahagian muka berkali-kali, tendang di bahagian dada serta paha kaki kanan. Saya mengalami kesakitan di telinga dan tidak dapat mendengar,” katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Alor Setar.
Syafi turut mendakwa dia dihalau keluar dari tempat kerja selepas kejadian itu berlaku.
“Hang kaya, tapi nyawa orang tak boleh beli dengan duit”
Sementara itu kakak mangsa, Syifa Hani Afza, meluahkan rasa marah dan kecewa dengan tindakan majikan adiknya itu melalui satu hantaran Facebook yang mendapat perhatian ramai. Syifa menegaskan pekerja bukan patung untuk diperlakukan sesuka hati dan sepatutnya dilayan dengan hormat.
“Bos-bos jangan cepat melenting, cepat naik tangan pada staf. Benda boleh bincang atau diberhentikan. Tak payah nak naik tangan pada anak orang. Kalau kena pada anak sendiri, baru hang tahu.
“Hari ini adik aku yang kena, esok-esok tak tahu anak siapa pula yang dia bantai. Walaupun hang kaya, nyawa tidak boleh dibeli dengan duit,” katanya.
Syifa turut berkongsi gambar keadaan telinga adiknya selepas menjalani pemeriksaan di klinik. Katanya, keluarga mereka masih trauma dengan insiden tersebut.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak majikan mahupun pihak berkuasa mengenai tindakan lanjut terhadap kes ini.








