Sarawak bakal mempunyai kilang pembuatan roti Gardenia pertama apabila Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) bersama Yayasan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd.
Menurut laporan Sarawak Edition, pelaburan bernilai RM30 juta itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri selain membuka kira-kira 500 peluang pekerjaan.
Lebih menarik, inisiatif berkenaan turut menyaksikan perancangan pengenalan ‘Gardenia Sarawak Edition’, iaitu produk dan pembungkusan eksklusif yang mengetengahkan identiti, budaya serta keunikan Sarawak sebagai penghargaan kepada masyarakat Bumi Kenyalang.
Baca juga:
- Pelajar dakwa dilarikan dua lelaki, polis sahkan laporan palsu
- Rosmah Mansor saman Harith Iskander, dakwa dihina dalam persembahan komedi
- Gardenia Sarawak Edition bakal diperkenal
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, syarikat itu telah melabur hampir RM300 juta di Sarawak setakat ini dan menggaji sekitar 400 rakyat tempatan, mencerminkan keyakinan terhadap potensi ekonomi negeri serta keupayaan tenaga kerja tempatan.
Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta Pengerusi Bukan Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pelaburan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembinaan kemudahan pengeluaran, malah dijangka memperkukuh rantaian bekalan makanan, merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya untuk rakyat Sarawak.
Kehadiran Gardenia di Sarawak juga dilihat sebagai satu lagi petunjuk bahawa negeri itu semakin mendapat perhatian pelabur sebagai destinasi strategik dalam sektor pembuatan dan industri makanan di Malaysia.









