Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini seorang wanita ditahan pihak polis bagi membantu siasatan terhadap kejadian menyimbah air panas terhadap seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down.
Insiden berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur sehingga enam peratus daripada permukaan kulitnya. Tempoh pemulihan dijangka kira-kira dua minggu.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal siasatan mendapati punca kejadian tersebut adalah disebabkan oleh perselisihan faham.
Perselisihan faham yang disifatkan agak sensitif itu telah tercetus antara suspek dan mangsa sekitar tiga atau empat tahun lalu.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan ke atas wanita terbabit dan siasatan awal mendapati punca adalah disebabkan perselisihan faham terhadap mangsa yang telah berlaku dalam tiga ke empat tahun lalu, saya rasa dia (suspek) kenal mukalah sebab tinggal di flat sama.
“Setakat ini kita telah merakam percakapan tiga individu termasuk mangsa dan siasatan masih diteruskan kalau selesai kita akan tuduh awal jika tidak, kita sambung reman,” katanya.
Bukan pesakit mental
Tambahnya lagi, pihak polis turut mempertimbangkan untuk menghantar suspek bagi menjalani pemantauan kesihatan untuk pemerhatian dan pengesahan laporan perubatan. Namun siasatan setakat ini mendapati wanita itu bukan pesakit mental.
“Setakat ini kita tengok tiada (rekod pesakit mental) Insya-Allah kita akan majukan untuk kita dapatkan rawatan lanjut terhadap suspek jika suspek mempunyai masalah mental di hospital,” katanya.
Sumber: Berita Harian