Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Majlis pada hari istimewa bertukar menjadi tragedi apabila satu kebakaran dilaporkan berlaku di Dewan Arena Square, Teluk Intan.
Dalam kejadian Ahad lalu, kebakaran berlaku dipercayai berpunca daripada percikan mercun dan bunga api yang dibuat sempena sambutan hari jadi.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki warga tempatan berusia 24 tahun ditahan di sebuah rumah di Teluk Intan sekitar jam 3 petang pada Isnin.
Dewan berkenaan katanya disewakan daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bagi acara sambutan yang dianjurkan lelaki berkenaan.
“Acara berkenaan dihadiri sekitar 500 tetamu dan penganjur telah menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk digunakan tetamu.
“Siasatan awal dijalankan bersama pasukan forensik bomba mendapati, kebakaran berkemungkinan berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan tersebut,” katanya.
Siasatan juga mendapati lelaki yang merupakan seorang pemandu di sebuah syarikat lori itu tidak memiliki lesen yang sah untuk penggunaan bunga api dan mercun.
Sumber: Sinar Harian