Gagal menahan nafsu, bapa 3 anak ungkap kata-kata lucah terhadap staff kedai serbaneka - The Reporter

Gagal menahan nafsu, bapa 3 anak ungkap kata-kata lucah terhadap staff kedai serbaneka

Sumber gambar: Suara Merdeka

Mahkamah Majistret Melaka semalam mengenakan hukuman denda RM2,500 terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata lucah terhadap jururwang wanita dalam kejadian Ogos lalu.

Majistret Nabilah Nizam, menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh, Affan Razali yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata lucah terhadap remaja perempuan berusia 19 tahun di sebuah kedai serbaneka pada jam 4.16 pagi, 7 Ogos lalu.

Bagi kesalahna itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan dirinya bekerja sebagai pemotong rumput. Selain itu, dia perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja, serta tiga anaknya masih kecil.

Tertuduh mengakui, dia melakukan kesalahan itu kerana tergoda melihat bentuk badan mangsa. Namun, kini dia telah menyesal dan insaf.

Namun, Majistret Nabilah tidak bersetuju dengan hujah tertuduh kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa hanya memakai pakaian biasa, baju T. Bukannya memakai pakaian mencolok mata.

Justeru, tertuduh diperintah membayar denda RM2,500. Jika gagal berbuat demikian, tertuduh akan dipenjara tiga bulan.

Sumber: Kosmo! Online

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!