Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Gagal membayar caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyebabkan syarikat minuman Bubblebee Sdn. Bhd. dijatuhi denda keseluruhan RM17,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Hukuman ini diputuskan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis selepas syarikat tersebut, yang diwakili oleh dua pengarahnya, Shahmira Muhamad atau Shuib, 40, dan Koh Choon Guan, 33, mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan yang dibacakan di mahkamah.
Sekiranya gagal membayar denda, syarikat itu diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan. Mahkamah turut memberi kebenaran untuk membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi melunaskan tunggakan caruman tersebut.
Bubblebee berdepan tiga pertuduhan kerana gagal membayar caruman majikan dan pekerja untuk seorang lelaki berusia 25 tahun bagi bulan November hingga Disember tahun lalu dengan jumlah RM97.80, seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta Peraturan 32, Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.
Selain itu, tiga lagi pertuduhan dikenakan kerana tidak membayar caruman tambahan sebanyak RM17.40 untuk individu yang sama dalam tempoh tiga bulan tersebut, mengikut Seksyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Kesalahan ini dilakukan di premis syarikat di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong pada setiap 16 haribulan antara bulan November hingga Januari. Syarikat yang diasaskan Shuib ini juga didapati mengingkari saman di bawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan seterusnya didakwa di bawah Seksyen 110 (2) akta yang sama pada 10 Januari lalu di Pejabat Perkeso Selangor.
Setiap pertuduhan yang dikenakan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000. Secara keseluruhan, Bubblebee didenda RM7,500 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, RM7,500 di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, serta tambahan RM2,500 bagi pertuduhan ingkar saman. Dokumen berkaitan perlu diserahkan kepada Perkeso sebelum 20 Disember ini.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso Selangor, Nurul Atikah Che Sarif, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Sumber: Kosmo!