Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang bapa memohon bantuan orang ramai untuk mengesan anak perempuannya, Huang Yixuan, 14, yang dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu selepas dipercayai melarikan diri bersama seorang lelaki yang dikenalinya menerusi permainan dalam talian.
Menurut bapanya, Huang, 43, yang bekerja di Singapura, kehilangan anaknya hanya disedari apabila datuk gadis itu yang menghantar Yixuan ke sekolah seperti biasa mendapati cucunya tidak pulang selepas tamat waktu persekolahan.
“Oleh kerana saya kerja di Singapura, anak-anak dijaga oleh ibu bapa saya. Pada hari Rabu, ayah saya menghantar Yixuan ke sekolah seperti biasa. Tetapi selepas tamat waktu persekolahan jam 1 tengah hari, Yixuan tidak pulang. Ayah saya kemudian menghubungi cikgu yang kemudian memaklumkan Yixuan langsung tidak hadir ke sekolah pada hari itu,” katanya.

Huang percaya anaknya kini bersama seorang lelaki berusia 47 tahun yang dikenali dalam permainan video beberapa minggu sebelum kejadian.
“Ini kali pertama dia lari dari rumah. Kami syak dia mengikuti seorang lelaki yang baru dikenalinya dari permainan dalam talian. Dua ke tiga minggu lalu, adik saya pernah ternampak Yixuan menaiki sebuah kereta putih di kawasan Jinjang. Bila saya tanya, anak saya jawab itu teman lelakinya yang dikenali dalam game,” katanya.
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Terpedaya janji manis lelaki berusia
Lelaki berkenaan dikatakan pernah datang sendiri ke rumah untuk menjemput Yixuan keluar sebelum ditegur oleh adik Huang dan diminta menunjukkan kad pengenalan.
“Dia siap datang ambil anak saya di rumah. Adik saya tanya, dia tahu ke Yixuan berusia 14 tahun? Dia tunjuk MyKad, rupanya dia berusia 47 tahun. Tetapi dia cakap mereka cuma kawan biasa dan sanggup menunggu anak saya sampai dewasa,” jelasnya.

Lebih membimbangkan, Yixuan mendakwa lelaki tersebut kaya dan berjanji untuk memberikan hadiah jika meneruskan hubungan mereka.
“Saya pernah telefon pujuk dia balik. Tapi dia jawab lelaki tu sangat kaya, nak beri kereta dan rumah kepadanya. Selepas itu kelakuannya semakin teruk, selalu balik rumah selepas tengah malam. Malah, ada kesan ciuman di leher. Dua minggu lepas, ibu bapa saya bawa dia ke balai polis untuk buat laporan,” katanya lagi.
Selepas laporan polis dibuat, Yixuan menunjukkan sedikit perubahan dalam tingkah lakunya dan keluarga menyangka dia telah insaf. Namun beberapa hari kemudian, dia sekali lagi menghilangkan diri dengan alasan mahu ke sekolah.
Alamat palsu, rekod penipuan dan hutang dengan ah long
Enggan berputus asa, Huang pulang dari Singapura dan cuba menjejaki lelaki itu di Batu Pahat menggunakan maklumat dari kad pengenalan yang ditunjukkan sebelum ini. Namun rumah yang dituju telah lama dijual.
“Dua hari lepas saya dengan ibu pergi ke alamat lelaki tu di Batu Pahat. Tapi rumah tu dah dijual. Jiran lama beritahu dia berhutang dengan ah long dan dua bulan lepas pernah tipu seorang wanita lebih RM10,000,” katanya.

Kini, Huang amat risau akan keselamatan anak perempuannya dan berharap sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu.
“Saya sangat risau keselamatan anak saya. Kalau ada sesiapa yang nampak atau tahu di mana dia berada, tolong hubungi saya di 017-283 3898.”
Sumber: Sin Chew







