Gabenor Jakarta nafi dakwaan kakitangan Zoo Ragunan bawa pulang makanan harimau | The Reporter

Gabenor Jakarta nafi dakwaan kakitangan Zoo Ragunan bawa pulang makanan harimau

Gabenor Jakarta nafi dakwaan kakitangan Zoo Ragunan bawa balik makanan harimau.
Gambar: Berita Jakarta

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Gabenor Jakarta, Pramono Anung, menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa kakitangan Zoo Ragunan membawa pulang makanan harimau sehingga menyebabkan haiwan itu kelihatan kurus dan didakwa kelaparan.

Menurut Pramono, semakan yang dilakukan pihaknya mendapati tuduhan tersebut tidak berasas.

“Tidak ada, saya sudah periksa,” katanya.

Isu berkenaan mula tular selepas sebuah video memaparkan seekor harimau berjalan mundar-mandir di dalam kandang dikongsi di media sosial. Individu yang memuat naik video berkenaan mendakwa fizikal harimau itu kelihatan kurus kerana makanan harimau (daging) dibawa balik oleh kakitangan zoo.

Memetik laporan Detik News, Pramono menegaskan sekali lagi bahawa dakwaan tersebut tidak benar.

Bahkan, beliau sempat berseloroh bahawa beliau akan mengambil tindakan jika benar ada sesiapa yang mengambil makanan harimau miliknya di Ragunan.

“Kalau ada yang berani ambil makanan anak harimau saya, nanti saya keluarkan harimaunya,” katanya.

Permohonan maaf

Sementara itu, individu yang mencetuskan dakwaan awal di platform Threads dengan nama andini.melda telah tampil membuat penjelasan dan permohonan maaf secara terbuka.

Wanita berkenaan sebelum ini mendakwa mempunyai saudara yang bekerja di Ragunan dan sering melihat saudaranya membawa pulang makanan haiwan seperti ayam dan daging lembu, malah mendakwa ia dijual semula pada harga murah.

Namun, dalam video permohonan maaf yang dimuat naik melalui akaun Instagram rasmi Zoo Ragunan, individu tersebut menjelaskan bahawa semua tuduhan itu tidak benar.

“Saya ingin menjelaskan dan memohon maaf kepada Zoo Ragunan, kepada pimpinan dan semua kakitangan,” katanya.

Baca juga:
Andaian peribadi

Beliau mengakui bahawa dakwaan tersebut adalah tanggapan peribadi tanpa sebarang bukti yang sahih.

“Kenyataan saya sebelum ini hanya berdasarkan andaian peribadi tanpa bukti atau maklumat yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya lagi.

Tambahnya, komen tersebut dibuat secara spontan selepas melihat video viral harimau yang kelihatan kurus.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak mempunyai bukti yang menunjukkan kakitangan Ragunan melakukan perbuatan itu,” ujarnya.

Related Posts