‘Rakyat tak patut takut kepada kerajaan’, Fahmi Reza bakal saman kerajaan lepas disekat keluar negara | The Reporter

‘Rakyat tak patut takut kepada kerajaan’, Fahmi Reza bakal saman kerajaan lepas disekat keluar negara

Fahmi Reza di KLIA2 memegang pasport Malaysia selepas disekat ke luar negara
Fahmi Reza menunjukkan pasportnya di KLIA2 selepas mendakwa disekat daripada menaiki penerbangan ke Singapura

• Fahmi Reza dihalang keluar negara pada 7 Jun, didakwa kerana arahan Bukit Aman
• Ketua Polis Negara nafi sekatan rasmi, hanya kekeliruan prosedur
• Fahmi tetap mahu saman kerajaan atas pencabulan hak pergerakan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Fahmi Reza menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa selepas mendakwa hak kebebasannya dinafikan apabila disekat daripada meninggalkan negara pada 7 Jun lalu.

Aktivis dan pereka grafik itu berkata, dia kecewa kerana tiada pihak dalam kerajaan tampil mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sebaliknya hanya menyalahkan antara satu sama lain. Fahmi mendakwa dirinya telah mengalami kerugian masa dan wang selepas tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Singapura untuk menghadiri konsert kugiran kegemarannya.

“Saya dihalang semalam. Saya tidak dibenarkan keluar negara. Hak saya sebagai warganegara telah dinafikan. Saya cuma rakyat biasa. Kamu sekat saya, susahkan saya, bazirkan masa dan duit saya… lepas tu semua lepas tangan,” tulisnya dalam satu kenyataan terbuka di media sosial.

Fahmi turut mempersoalkan tindakan pihak imigresen dan Bukit Aman yang didakwa menyenaraikan namanya dalam sistem pemantauan tanpa notis atau perintah rasmi.

Fahmi nekad saman kerajaan

Fahmi menyatakan tindakannya bukan bermotif politik, sebaliknya kerana mahu menuntut keadilan selepas hak pergerakannya disekat tanpa alasan yang sah.

“Saya dah baca kenyataan Anwar Ibrahim yang menyalahkan pihak polis dan kenyataan polis yang menyalahkan imigresen. Tapi saya tak nampak ada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab atas kesilapan ini,” katanya.

Fahmi menegaskan dia akan membawa kes ini ke mahkamah agar perkara yang sama tidak berulang kepada orang awam lain.

“Kali ini, giliran rakyat pula heret pihak berkuasa ke mahkamah. Kamu selalu cakap ‘guna saluran yang betul’, kan? Okey. Jumpa di mahkamah.

“Rakyat tak patut takut kepada kerajaan. Kerajaan yang patut takut kepada rakyat.”

Apa sebenarnya berlaku pada 7 Jun?

Fahmi Reza dihalang keluar negara ketika berada di KLIA2 untuk menaiki pesawat ke Singapura. Pegawai imigresen memaklumkan bahawa nama Fahmi tersenarai dalam sistem pemantauan Bukit Aman dan tidak mendapat kebenaran keluar negara.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kemudian menjelaskan tiada sekatan rasmi dikenakan. Apa yang berlaku hanyalah kekeliruan semasa proses semakan keluar negara oleh imigresen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengarahkan siasatan segera dijalankan oleh PDRM dan menegaskan kerajaan menjunjung kebebasan pergerakan rakyat.

Related Posts