Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan peguamnya mengeluarkan notis tuntutan terhadap seorang individu susulan penyebaran video yang didakwa memanipulasi rakaman ucapannya di Parlimen.
Menurut Fadhlina, video yang disiarkan pada 6 Oktober lalu menggunakan rakaman suara beliau ketika membahaskan isu Minggu Solidariti Palestin di Parlimen pada 2023.
Bagaimanapun, beliau mendakwa rakaman berkenaan telah diambil di luar konteks asal sebelum digunakan semula sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah kenyataannya merujuk kepada insiden keselamatan dan kematian murid di sekolah.
Fadhlina menegaskan bahawa kebebasan bersuara merupakan hak yang perlu dihormati, namun setiap individu turut bertanggungjawab memastikan sesuatu maklumat yang disebarkan berlandaskan fakta dan kebenaran.
“Kebebasan bersuara merupakan hak yang mesti dihormati. Namun, kebebasan tersebut turut menuntut tanggungjawab terhadap kebenaran dan fakta,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan bahawa dirinya sentiasa terbuka menerima kritikan terhadap dasar serta keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain menganggap perbezaan pandangan sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.
Namun begitu, katanya, terdapat perbezaan jelas antara kritikan terhadap sesuatu keputusan dengan tindakan menggunakan kenyataan di luar konteks sehingga memberikan gambaran salah kepada masyarakat.
Dalam masa sama, Fadhlina berpandangan bahawa kebebasan bersuara dan perlindungan terhadap reputasi seseorang perlu bergerak seiring selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Kritikan harus terus diraikan. Manipulasi fakta tidak boleh dibiarkan,” tegasnya.








