Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mengecam kenyataan sinis Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari yang memperlekeh kejayaan Malaysia membantu merintis gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan diplomatik ini bukan isu politik, sebaliknya soal maruah dan peranan Malaysia sebagai peneraju keamanan serantau. Dunia, termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, mengiktiraf usaha ini, namun pembangkang tempatan pula memilih untuk bersikap negatif.
“Saya ingin tegaskan bahawa usaha ini bukan soal parti atau politik individu. Ini soal maruah negara. Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini.
“Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis,” jelasnya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Dr Noraishah Mydin, umum tarik diri dari PKR
- Ucapan Ramanan dicelah Hassan Karim, cetus ketegangan di Konvensyen PKR Johor
Muhammad Kamil menyifatkan tindakan Ahmad Fadhli sebagai tidak patriotik, memalukan negara dan bertentangan dengan semangat Islam yang mengutamakan pendamaian. Justeru, beliau menggesa YB Pasir Mas membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja atas kenyataan tidak sensitif yang dikeluarkannya.
“Beginilah politik sempit yang kita tolak. Kita tidak boleh benarkan suara-suara sumbang ini terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara.
“Tuntutan Islam yang sepatutnya meraikan pendamaian, disanggah dengan kebencian politik yang membuak. Ini jauh menyimpang dari ajaran dan tuntutan Islam,” katanya.
Terdahulu Fadhli dikecam selepas memuat naik hantaran berkenaan penyelesaian genjatan senjata antara negara bergolak Thailand dan Kemboja.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang, monyet sebagai hakim.

Menerusi hantaran tersebut, beliau menulis kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang. Beliau turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.








