Empat kali paru-paru ditebuk, wanita kongsi derita akibat asap rokok | The Reporter

Empat kali paru-paru ditebuk, wanita kongsi derita akibat asap rokok

Gambar seorang wanita di hospital dengan menggunakan alat bantuan pernafasan setelah menjalani prosedur paru-paru ditebuk gara-gara asap rokok.
Wanita ini terpaksa melalui empat prosedur menebuk paru-paru akibat terdedah kepada asap rokok, Gambar: TikTok sistihah00

Ramai menyangka hanya perokok aktif yang berisiko mendapat pelbagai penyakit. Namun, tanpa disedari, perokok pasif juga terdedah kepada risiko penyakit serius yang boleh mengancam nyawa.

Menerusi hantaran video di TikTok sistihah00, beliau berkongsi pengalaman ngeri apabila terpaksa ditebuk paru-paru sebanyak empat kali gara-gara menjadi perokok pasif.

“Sekarang tengah viral pasal orang hisap vape dan rokok kena tebuk paru-paru, kan? Tapi saya pula kena tebuk sebab jadi perokok pasif.

“Pada tahun 2017, paru-paru sebelah kiri dua kali kena tebuk. Kemudian pada tahun 2019, sebelah kanan pula dua kali kena tebuk,” katanya.

https://www.tiktok.com/@sistihah00/video/7503538656557239559?is_from_webapp=1&lang=en

Menurut wanita tersebut, sehingga kini dia masih menanggung kesan sampingan, termasuk sakit saraf yang berpanjangan.

“Kajian menunjukkan bahawa risiko penyakit jantung dan kanser paru-paru meningkat bagi perokok pasif yang terdedah dalam jangka masa panjang. Jadi, beringatlah ya. Saya dah terkena, harapnya korang tak terkena.

“Sakit tu hanya Allah yang tahu macam mana. Sampai sekarang, kesan sakit saraf tu masih ada sebab baring terlentang atas katil terlalu lama, tanpa boleh mengiring kiri atau kanan,” tambahnya.

Dalam video yang sama, dia turut menasihati para perokok dan penghisap vape tegar agar lebih bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.

“Jadi berhati-hatilah wahai perokok dan penghisap vape. Jika ada nyawa yang terkorban disebabkan terhidu asap vape atau rokok yang korang hisap, korang akan bertanggungjawab di akhirat kelak,” katanya tegas.

Related Posts