Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tampil bersuara secara terbuka mengenai tuduhan berat yang pernah dilemparkan terhadapnya melibatkan isu salah laku seksual yang menurutnya sangat mengaibkan dan memberi kesan mendalam kepada keluarga.
Dalam kenyataan yang dikongsi menerusi audio siar SoutuDeen, beliau mengakui ini antara ujian paling mencabar dalam hidupnya apabila berdepan dengan tuduhan rogol yang merupakan satu dakwaan yang bukan sahaja memberi tekanan mental kepada dirinya, malah turut mengganggu emosi anak-anak.
“Anak perempuan saya balik dari sekolah sambil menangis. Dia terbaca berita yang menyebut ‘Ebit Lew disahkan disiasat kes rogol’. Sebagai ayah, hati saya luluh,” katanya.
Menurut Ebit, ketika siasatan dijalankan, beliau dipanggil ke beberapa lokasi termasuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan ujian darah. Beliau turut berkongsi saat menyentuh hati apabila doktor yang merawatnya turut menangis kerana tidak sanggup melihat dirinya ditimpa ujian berat sedemikian.
“Doktor tu kata, ‘Ustaz, saya sayang ustaz. Saya selalu dengar ceramah ustaz.’ Masa tu saya betul-betul sebak. Saya kata tak perlu panggil saya ‘ustaz’, panggil saja Ebit Lew cukup,” kongsinya.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Tuduhan tidak berasas
Beliau turut menjelaskan, tuduhan kononnya beliau merogol seseorang di sebuah hotel sekitar jam 1 hingga 2 pagi adalah tidak berasas sama sekali kerana berdasarkan bukti CCTV, beliau langsung tidak berada di hotel tersebut.
“Saya tak pernah jejakkan kaki ke hotel itu. Segala urusan bantuan biasanya diuruskan staf saya. CCTV tunjuk dengan jelas hanya mereka yang berada di lokasi,” katanya.
Ebit mendedahkan bahawa individu yang mengaitkan namanya dalam kes berkenaan merupakan salah seorang daripada mereka yang pernah dibantu menerusi misi kemanusiaan. Menurutnya, beliau melihat potensi pada individu tersebut yang memiliki lebih sejuta pengikut media sosial, dan berniat untuk membimbing ke arah dakwah.
“Saya fikir kalau saya bimbing dia, dia mungkin boleh jadi pendakwah yang baik. Walaupun dulu dia tak bertudung, tapi selepas itu dia mula berubah dan mengajak kepada kebaikan. Itu yang saya harapkan,” tambahnya.
Kes selesai, saman balas demi membersihkan nama
Setelah bebas daripada tuduhan rogol, Ustaz Ebit mendedahkan masih terdapat satu lagi kes lain yang timbul, namun bukan berkaitan rogol, sebaliknya melibatkan dakwaan ‘pegang-pegang’. Beliau memilih untuk membawa perkara itu ke mahkamah bagi menuntut keadilan dan membersihkan namanya.
“Saya tak mahu dia dipenjarakan, saya hanya mahu nama saya dibersihkan. Dan akhirnya, mahkamah memutuskan dia perlu bayar ganti rugi dan mohon maaf secara terbuka,” katanya
Menjawab persoalan mengapa beliau mendiamkan diri selama ini, Ustaz Ebit menjelaskan beliau telah memendam perkara ini sejak sembilan tahun lalu dan memilih untuk bersabar serta berdoa.
“Saya dah lalui lima tahun dalam diam. Tapi inilah masanya saya bersuara. Bukan untuk meraih simpati, tapi untuk kebenaran,” katanya lagi.








