Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pengangkutan telah melancarkan projek perintis sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’. Inisiatif ini membolehkan calon menjalani ujian tanpa kehadiran pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam kenderaan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera. Keputusan ujian akan dijana secara masa nyata, yang sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.
Dengan penggunaan sistem ini, institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100. Namun, calon yang memilih menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat. Antaranya, mereka boleh menjalani percubaan kali kedua bagi elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa kos tambahan.
Selain itu, calon ujian juga akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian dan mendapat rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan. Bagaimanapun, untuk permulaan, calon diberi pilihan untuk menjalani ujian manual atau eTesting.
Projek perintis eTesting ini dimulakan di tiga institut memandu, iaitu IM Surfine Hitech di Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya di Ulu Tiram, Johor; dan Institut Lima Bintang Abadi di Pulau Pinang.
Loke menambah, pelaksanaan sistem eTesting ini membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada, iaitu kira-kira 150 calon pada satu hari. Jumlah pegawai penilai JPJ yang bertugas di satu institut memandu juga boleh dikurangkan kepada dua orang berbanding enam orang ketika ini.
Beliau berharap sistem ini dapat meningkatkan integriti, pengeluaran lesen memandu, serta memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik. Ini adalah langkah penting ke arah memodernisasi sistem pengujian lesen memandu di Malaysia.
Sumber: Berita Harian




