Dunia tak boleh terus biar Israel bertindak ganas - PM | The Reporter

Dunia tak boleh terus biar Israel bertindak ganas – PM

Anwar Ibrahim angkat tangan ketika berucap gesa dunia hentikan keganasan Israel
PM Anwar Ibrahim gesa dunia bersikap adil dan tidak terus membiarkan Israel bertindak ganas

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Anwar gesa dunia hentikan keganasan, beri keutamaan kepada nyawa & keadilan
• Israel perlu ditekan, bukan terus dibiarkan bertindak ganas
• Malaysia tetap bersuara walau tekanan antarabangsa meningkat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri melihat keganasan yang berterusan berlaku di Timur Tengah, terutamanya terhadap Iran dan rakyat Palestin.

Katanya, dunia perlu mengambil sikap yang lebih adil dan tegas, bukan hanya menyalahkan satu pihak, sebaliknya menekan Israel yang terus melakukan tindakan ganas terhadap negara lain.

“Untuk perdamaian sebenar, Israel harus ditekan supaya tidak bersikap provokatif dan ganas menyerang negara lain.

“Bila terus menyerang dan membunuh orang, tentu ada tindak balas dari Iran,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Anwar menjelaskan, pendirian Malaysia dalam isu ini adalah jelas dan konsisten, iaitu mempertahankan prinsip hak asasi manusia dan menolak sebarang bentuk keganasan.

Apa yang dibimbangkan Malaysia?

Menurut Anwar, serangan ke atas Iran berisiko mencetuskan reaksi balas yang boleh merumitkan lagi keadaan, apatah lagi apabila kuasa luar seperti Amerika Syarikat turut terlibat.

“Di Gaza, wanita dan kanak-kanak terus dibunuh. Kini Iran pula diserang dan mereka memilih untuk melawan. Campur tangan dari kuasa luar termasuk Amerika Syarikat (AS) hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Tambahnya lagi, sebarang ketegangan yang berlaku di kawasan seperti Selat Hormuz juga boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi global. Namun begitu, katanya isu paling utama tetap keselamatan nyawa manusia.

“Sekurang-kurangnya, hentikan keganasan ini. Jangan hanya meminta Iran supaya tidak bertindak balas, tetapi dalam masa yang sama membenarkan tindakan melampau terhadap mereka.”

Malaysia tak akan berdiam diri

Anwar juga meluahkan kebimbangan apabila suara negara-negara merdeka dan berdaulat kini semakin tenggelam dalam isu keadilan global. Malaysia katanya, tidak akan berdiam diri.

“Malaysia terpaksa bersuara, jangan sampai negara berdaulat tidak mampu bersuara tentang hak asasi dan keadilan,” katanya.

Related Posts