Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Nama Veveonah Mosibin pernah mencetuskan fenomena pada tahun 2020 apabila videonya memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian menjadi tular. Video berdurasi 11 minit itu memaparkan usaha gigih seorang pelajar dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah, yang terletak kira-kira tiga jam dari Kota Kinabalu, demi meneruskan pelajaran walaupun berdepan kekangan infrastruktur.
Kini, pada usia 23 tahun, Veveonah sekali lagi mencuri perhatian dengan perkembangan terkininya dalam dunia akademik. Beliau kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam, selepas berjaya menamatkan ijazah sarjana muda dalam bidang sains marin di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.46.
Fokus baharu: Perubatan
Walaupun berjaya dalam bidang sains marin, Veveonah mengakui minatnya terhadap bidang itu mula pudar semasa pandemik Covid-19. Menurutnya, pembelajaran dalam talian tidak dapat memberikan pengalaman praktikal yang diperlukan dalam bidang tersebut.
“Keadaan mental yang tidak stabil boleh membawa kepada pilihan yang kurang tepat. Minat saya terhadap sains marin hanyalah sementara, dan saya mula sedar bahawa perubatan adalah cita-cita sebenar saya,” katanya.
Namun, beliau memilih untuk menghabiskan pengajian sains marin dahulu bagi memenuhi kontrak biasiswa sebelum memulakan perjalanan baharunya dalam bidang perubatan pada 1 Oktober lalu.
Cabaran & motivasi di MSU
Veveonah kini sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di Shah Alam sambil memohon biasiswa untuk menampung kos pengajian selama lima tahun.
“Di sini, saya bertemu ramai rakan daripada latar belakang berbeza. Mereka sangat membantu saya menyesuaikan diri. Dikelilingi orang yang bijak dan rajin memberi motivasi untuk saya terus berusaha,” ujarnya.
Walaupun tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen UMS baru-baru ini kerana kos penerbangan yang tinggi, beliau dijangka menerima skrol ijazahnya pada akhir bulan ini.
Sumber: New Straits Times








