Tingkap kereta didapati tertutup rapat dan berkunci, manakala barang berharga masih berada bersama mangsa ketika seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan bersama seorang remaja lelaki dipercayai kekasihnya di Bandar Sejati Walk, Sandakan, pagi Ahad.
Mayat kedua-dua mangsa ditemui di bahagian penumpang belakang kereta kira-kira jam 8 pagi, selepas pihak polis menerima maklumat awam mengenai penemuan mencurigakan itu.
Remaja lelaki berusia 18 tahun berkenaan dipercayai keluar dari rumah pada Jumaat lalu untuk bertemu pelajar tersebut sebelum kedua-duanya gagal dihubungi.
Baca juga:
- JAKIM nafi iktiraf sijil nikah Rohingya, dokumen bukan keluaran pihak berkuasa agama
- Anwar beri amaran, rakyat Israel dikesan di Malaysia akan diusir jika dakwaan benar
- Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu, ganti Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata bapa mangsa yang risau akan kehilangan anaknya menemui kereta miliknya di tempat letak kereta Bandar Sejati Walk. Lelaki itu kemudian membuka pintu kenderaan menggunakan kunci pendua sebelum menemukan kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat di lokasi kejadian, selain keadaan kenderaan yang berkunci dari dalam.
Menurut Ramasamy, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
Sumber: Harian Metro








