Dua penuntut UnIPSAS maut kemalangan dengan ambulans | The Reporter

Dua penuntut UnIPSAS maut kemalangan dengan ambulans

Dua penuntut UnIPSAS maut kemalangan dengan ambulans
Muhammad Zuhair Rifqi meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Firdaus disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Gambar: MMK, Hepa Unipsas.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran SMK Paya Besar, Jalan Kuantan-Gambang pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, dan Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian).

Menurut kenyataan dimuat naik di Facebook Hepa UnIPSAS, Muhammad Zuhair Rifqi meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Firdaus disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Baca juga:

Kedua-dua arwah digambarkan sebagai pelajar berakhlak mulia, cintakan ilmu agama dan telah menghafaz 30 juzuk al-Quran. Mereka pernah menuntut di Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad dan seterusnya menyambung pengajian di Tahfiz Bestari, Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan sebelum ke UnIPSAS.

“Pihak universiti merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan mendoakan roh kedua-dua pelajar dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud memaklumkan, kemalangan berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika ambulans swasta terbabit sedang membawa pesakit dari HTAA ke Bukit Rangin.

“Siasatan awal mendapati, ambulans yang dipandu lelaki berusia 49 tahun bersama pembantunya berusia 43 tahun sedang membelok ke kanan dengan siren dibunyikan, sebelum dirempuh motosikal dinaiki mangsa dari arah Gambang,” katanya.

Pemandu dan pembantu ambulans turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis memohon saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Related Posts