Dua individu cedera selepas dirempuh dua kenderaan yang dipandu secara melulu dalam satu insiden berdekatan pusat hiburan di Jalan Klang Lama pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu sebelum menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios telah merempuh sekumpulan individu di lokasi berkenaan.
“Akibat kejadian ini, dua individu mengalami kecederaan, dan salah seorang daripada mereka telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, pihak polis masih menyiasat punca kejadian, manakala individu yang terlibat setakat ini belum membuat laporan polis.
“Kami telah membuka siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau melaporkan ke mana-mana balai polis berdekatan.
Sumber: Sinar Harian








