Dua adik beradik disatukan semula oleh anak-anak selepas 10 tahun tidak bertegur sapa | The Reporter

Dua adik beradik disatukan semula oleh anak-anak selepas 10 tahun tidak bertegur sapa

Dua warga emas adik beradik berpelukan setelah lebih 10 tahun tidak bertegur sapa.
Anak-anak berjaya satukan semula dua beradik ini selepas sedekad tidak bertegur sapa.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perkongsian menyentuh hati oleh seorang wanita di TikTok, @njhamstf, mengundang sebak netizen apabila memaparkan momen dua orang warga emas yang merupakan adik beradik kandung, akhirnya bertemu semula selepas lebih 10 tahun tidak bertegur sapa akibat perselisihan faham.

Dalam video berkenaan, kelihatan seorang lelaki warga emas yang terpinga-pinga pada awalnya kerana tidak mengenali sosok tubuh seorang wanita warga emas dihadapannya. Perkara tersebut berlaku dipercayai kerana terlalu lama tidak bersua hingga sudah tidak mengenali satu sama lain.

Anak kepada lelaki warga emas berkenaan kemudiannya bertindak memberitahu nama samaran wanita warga emas tersebut berulang kali sehingga akhirnya lelaki warga emas tersebut tersentak lalu memeluk adiknya itu dalam tangisan.

@njhamstf

10 tahun berlalu, temukan adik beradik yang telah lama tidak bertegur sapa disebebkan perselisihan faham, punya lama tak jumpa sampai tak kenal kakak sendiri🥹 anak anak (sepupu) berjaya menyatukan kembali adik beradik ini, semoga ikatan tali persaudaraan tetap utuh, air dicincang takkan putus🥰🥹 Arwah ayah dah takde, tinggal pakcik makcik je kita menumpang kasih, gembira tengok dyorg kembali bersatu hati, kalau ayah ada ayah pun mesti happy tgk adik beradik dia dah berbaik semula🥹😢 Al-Fatihah buat ayah Mustafa Bin Abd Majid🤲🏻

♬ Hingga Tua Bersama – Rizky Febian

Menurut pemilik akaun, pertemuan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha bersama sepupu yang nekad untuk menyatukan semula dua beradik itu demi menjaga tali persaudaraan keluarga besar mereka.

Difahamkan, bapa kepada pemilik akaun telah pun meninggal dunia dan kini hanya tinggal pakcik dan makcik sebagai tempat menumpang kasih. Maka tidak hairanlah, momen dua beradik itu kembali bersatu menjadi saat yang cukup mengharukan buat semua.

“Kalau ayah ada, ayah pun mesti happy tengok adik beradik dia dah berbaik semula,” tulisnya dengan penuh emosi.

Perkongsian ini mengingatkan kita bahawa walau lama mana pun sebuah perbalahan dan sejauh mana pun jarak memisahkan, darah tetap tidak akan menjadi air. Hubungan keluarga adalah amanah yang perlu dijaga dan kadangkala hanya satu pelukan atau pertemuan semula sudah cukup untuk mencairkan dinding yang dibina bertahun lamanya.

“Semoga ikatan tali persaudaraan tetap utuh… air dicincang takkan putus,” tulis @njhamstf dalam kapsyennya yang mendapat ribuan tanda suka dan komen positif daripada warganet.

Related Posts