'Jangan kelirukan rakyat dengan naratif yang salah', Dr Zaleha perjelas isu Kota Madani | The Reporter

‘Jangan kelirukan rakyat dengan naratif yang salah’, Dr Zaleha perjelas isu Kota Madani

Dr Zaliha tampil menjelaskan isu pembinaan Kota Madani
Dr Zaliha menjawab tanggapan yang dibuat mengenai pembinaan Kota Madani. Gambar: FB Dr Zaliha Mustafa.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),Dr. Zaliha Mustafa tampil menjelaskan dakwaan yang tular berhubung pembinaan Kota MADANI, susulan kekeliruan dan pelbagai tanggapan yang tersebar.

Antara dakwaan yang timbul termasuklah Kota MADANI kononnya bakal menggantikan keseluruhan Putrajaya, membazir wang rakyat, dan membawa agenda politik tertentu. Namun, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, semua dakwaan tersebut disifatkan sebagai tidak berasas.

“Kota MADANI bukan pengganti Putrajaya. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada kawasan sedia ada, terletak di Presint 19 dengan keluasan cuma 102 ekar, iaitu hanya 0.8% daripada keseluruhan Putrajaya,” jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai kos pembangunan projek berkenaan, beliau menegaskan bahawa pembinaan Kota MADANI langsung tidak melibatkan dana awam, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh pihak pemaju melalui kerjasama awam-swasta menggunakan model Build-Lease-Maintain-Transfer (BLMT).

“Kos RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh Putrajaya Holdings. Malah, kos penyelenggaraan juga ditanggung pemaju, dan selepas 25 tahun, projek ini akan diserahkan kepada kerajaan,” katanya.

Mengulas keperluan projek itu, beliau berkata pembinaan 10,000 unit kuarters baharu di Kota MADANI adalah sangat diperlukan memandangkan lebih 17,000 permohonan kuarters penjawat awam belum dapat dipenuhi ketika ini.

“Ini bukan soal kehendak, tapi keperluan,” katanya lagi.

Sementara itu, isu penggunaan nama ‘MADANI’ juga turut dijelaskan. Menurut beliau, MADANI bukanlah satu label politik tetapi membawa nilai kemanusiaan, keadilan, keseimbangan dan kelestarian, selari dengan visi pembangunan bandar CHASE – bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam.

“Kota MADANI akan mengintegrasikan elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi moden. Ini usaha membentuk masa depan bandar yang lebih lestari dan inklusif,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak terus mengelirukan rakyat dengan naratif yang tidak benar.

“Penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan yang baik. Dan Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang berwawasan,” tegas beliau.

Related Posts