'Nyawa manusia lebih utama berbanding anjing yang mengancam keselamatan' - Dr Rozaimi | The Reporter

‘Nyawa manusia lebih utama berbanding anjing yang mengancam keselamatan’ – Dr Rozaimi

Dr Rozaimi Ramle mengulas isu anjing ganas dan kepentingan keselamatan manusia
Dr Rozaimi Ramle berkata ihsan terhadap haiwan perlu seiring dengan usaha melindungi nyawa manusia. Gambar: Facebook Dr Rozaimi.

Hadis mengenai seorang pelacur yang mendapat keampunan Allah selepas memberi minum seekor anjing yang kehausan sering dijadikan contoh mengenai tuntutan berbuat ihsan terhadap haiwan.

Namun, menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) Prof Dr Rozaimi Ramle, terdapat satu lagi aspek dalam hadis yang perlu difahami iaitu berkaitan ‘al-kalb al-‘aqur’ atau anjing ganas yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.

Beliau berkata, walaupun Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik terhadap haiwan, keselamatan dan nyawa manusia tetap perlu diberi keutamaan apabila berdepan ancaman yang memudaratkan.

“Benar, memang terdapat hadis berkaitan pelacur memberi minum anjing dengan ikhlas mendapat keampunan daripada Allah. Tetapi tidak ramai yang menyebut bahawa dalam hadis juga membenarkan kita melenyapkan al-kalb al-‘aqur iaitu anjing yang ganas sehingga mencederakan manusia,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap anjing-anjing liar yang mengganggu serta berpotensi membahayakan orang ramai, bukan sahaja melibatkan kanak-kanak malah turut memberi risiko kepada penunggang motosikal.

Baca juga:

Jelasnya, usaha menjaga kebajikan haiwan tidak seharusnya mengabaikan keselamatan manusia kerana kedua-duanya perlu dilihat secara seimbang.

“Pencinta haiwan perlu mencintai manusia juga,” katanya.

Terdahulu, kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky ketika operasi di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial, desakan siasatan daripada aktivis hak asasi haiwan, serta siasatan rasmi oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebelum ini menjelaskan kejadian itu berlaku selepas seorang individu didakwa bertindak agresif dan cuba memotong tali ‘loop’ yang digunakan anggota penguat kuasa ketika operasi.

Related Posts