Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu memaklumkan, beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka yang disandang sejak April 2023.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Bagaimanapun, Dr Akmal menegaskan beliau akan terus kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Menurut beliau, keputusan itu diambil demi menjaga maruah parti, selain menegaskan bahawa dirinya tidak akan sesekali meninggalkan Pemuda UMNO walaupun sanggup melepaskan kedudukan dalam kerajaan negeri.
Baca juga:
- Wan Fayshal desak Muhyiddin berundur sebagai Presiden parti
- Strategi perlu berubah, BN perlu kuasai digital untuk hadapi PRU-16 – Zahid
- Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika menjadi Timbalan Menteri Pendidikan
Sebelum ini, Dr Akmal dilaporkan telah bertemu Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyampaikan hasrat dan pandangannya, selain merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri itu kerana sudi mendengar luahan hatinya.
Terdahulu, Dr Akmal menyatakan kesediaannya untuk akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan oleh Ahmad Zahid serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukan jawatan yang disandangnya, memandangkan kedua-dua pemimpin itu sebelum ini memberi kepercayaan kepada beliau untuk bertanding di DUN Merlimau dan dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri.
Dr Akmal sebelum ini juga memberi bayangan sanggup melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO dan EXCO Melaka susulan kontroversi berhubung desakannya agar parti menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian








