4,352 Doktor Kontrak akan diserap tetap menjelang akhir tahun ini | The Reporter

4,352 Doktor Kontrak akan diserap tetap menjelang akhir tahun ini

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan pelantikan tetap 4,352 doktor kontrak akan dilaksana hujung tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad | Kredit gambar: Utusan Malaysia
Langkah penting kerajaan perkukuh sistem kesihatan awam

Seramai 4,352 Pegawai Perubatan Gred UD10 akan dilantik secara tetap ke dalam perkhidmatan awam menjelang hujung tahun ini, sekali gus memberi kelegaan besar kepada ribuan doktor kontrak yang menanti jaminan kerjaya sejak sekian lama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, surat tawaran akan mula dikeluarkan selewat-lewatnya pada 18 Ogos, dengan tarikh lapor diri dijadualkan bermula 2 Oktober 2025. Proses pelantikan tetap itu akan dijalankan secara berfasa melibatkan kerjasama rapat antara Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Baca juga:

Pengiktirafan kepada tenaga barisan hadapan

Dzulkefly menyifatkan pelantikan ini sebagai satu usaha serius kerajaan mengiktiraf peranan dan pengorbanan doktor kontrak, selain mengangkat semula imej profesion perubatan awam. Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan semua pegawai perubatan yang terlibat.

“Kami mendengar rintihan anda. Kami faham keperluan anda. Dan kami menghargai setiap pengorbanan anda,” katanya.

Beliau juga menyeru semua doktor yang menerima pelantikan agar terus berkhidmat dengan penuh komitmen dan integriti, selaras dengan usaha KKM memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Pengumuman ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu yang menegaskan keperluan segera menambah jumlah doktor tetap dalam sektor awam demi mempercepatkan reformasi sektor kesihatan negara.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts