'Kod dah ditukar, kamu tak dialu-alukan' - Jiran Yahudi sekat penduduk Palestin masuk bunker | The Reporter

‘Kod dah ditukar, kamu tak dialu-alukan’ – Jiran Yahudi sekat penduduk Palestin masuk bunker

Penduduk berlindung di dalam bunker bawah tanah ketika serangan peluru berpandu
Suasana dalam sebuah bunker bawah tanah yang menempatkan penduduk semasa serangan, mencerminkan isu akses dan diskriminasi ke atas penduduk Palestin | Kredit gambar: AP/Baz Ratner

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketika siren serangan berbunyi dan peluru berpandu Iran mula jatuh di kawasan sekitar Tel Aviv, sekumpulan penduduk Palestin di Jaffa mendakwa mereka tidak dibenarkan masuk ke bunker perlindungan bawah tanah oleh jiran Yahudi, walaupun mereka pernah berlindung di situ sebelum ini.

Insiden berlaku di Jalan Yehuda Hayamit, kawasan campuran antara penduduk Arab dan Yahudi. Menurut laporan Middle East Eye, kira-kira 12 hingga 15 penduduk Palestin dari bangunan lama cuba berlindung di bunker tersebut, tetapi mendapati kod pintu sudah ditukar.

Penduduk mendakwa perubahan itu berlaku selepas mereka dilihat masuk ke bunker itu beberapa kali sepanjang minggu lalu semasa serangan peluru berpandu Iran ke arah Tel Aviv.

“Kami tahu mereka tak suka kami berada di situ, tapi kami masuk juga”

Nasir Ktelat, 63 tahun, yang tinggal di tingkat empat bersebelahan bunker itu berkata, dia dan jiran lain sebelum ini selalu berlindung di situ kerana bangunan mereka tidak mempunyai bilik perlindungan.

“Kami masuk, dalam ada 12 hingga 15 orang. Kami Muslim dan Kristian dari bangunan sebelah. Kami tahu mereka tak suka kami berada di situ, tapi kami tak kisah.”

Pada hari berikutnya mereka masih dibenarkan masuk, tetapi diberi amaran terakhir.

“Mereka cakap, ‘Kami dah buat keputusan. Kami tak nak kamu datang lagi. Kami akan tukar kod pintu.’ Jelas sebabnya adalah kerana kami orang Arab.”

Seorang seorang penghuni Yahudi dari bangunan tersebut ada menunjukkan simpati, tapi tetap menyatakan keputusan itu dibuat oleh semua penduduk yang enggan menerima kemasukkan mereka.

Arab tak dialu-alukan masuk bunker?

Insiden ini mencetuskan persoalan tentang layanan tidak seimbang terhadap warga Palestin yang juga warganegara Israel. Ia berlaku hanya beberapa hari selepas empat rakyat Palestin terbunuh di Tamra, sebuah bandar majoriti Arab, apabila peluru berpandu Iran menghentam bangunan mereka yang langsung tiada tempat perlindungan awam.

Abed Abu Shahada, seorang aktivis Palestin di Jaffa, menyifatkan tindakan penduduk Yahudi yang enggan berkongsi bunker dengan jiran Palestin sebagai bukti rasisme yang sudah lama berakar dalam masyarakat Israel.

“Kes di Jaffa menunjukkan sisi gelap jiran sanggup biar jiran lain mati demi selamatkan diri sendiri.”

Abed turut mengkritik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kerana menyerang Iran tanpa mengambil kira keselamatan semua warganegara.

“Selama ini, kerajaan hanya bina tempat perlindungan di kawasan Yahudi saja. Kawasan Arab langsung tak diberi perhatian. Bila perang meletus, rakyat Palestin jadi mangsa pertama.”

Related Posts