Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan mendapat kritikan ramai, pasukan George Town Festival 2024 telah memadam klip video ‘teaser’ berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan juga aplikasi Youtube George Town Festival.
Dalam satu kenyataan, mereka memaklumkan berasa kesal video berkenaan telah menyinggung perasaan sesetengah pihak.
“Kami berasa kesal sekiranya promosi teaser dengan tidak sengajanya telah menyinggung perasaan individu dan kumpulan.
“Sebenarnya, kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah cuba sedaya upaya untuk memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang termasuk daripada segi kategori program, kumpulan jantina, umur serta perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival.
“Selain itu, kami telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam ‘teaser’ video tersebut,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut juga mereka turut memohon maaf diatas segala kekhilafan yang berlaku.
“Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan, kesulitan, kekhilafan dan salah faham yang timbul berhubung isu ini.
“Kami dengan rendah diri akan terus berusaha untuk menjayakan George Town Festival 2024,” kata kenyataan itu pada Selasa.
“Bagaimanapun, bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai, kami telah menurunkan klip video berkenaan di semua platform termasuk di Youtube George Town Festival,” katanya.
Klip video ‘Here and Now’
Terdahulu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, klip video bertemakan ‘Here and Now’ itu nyata tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.
Klip video ‘teaser’ itu didakwa tersebar luas dalam media sosial bagi mempromosikan ‘George Town Festival’ yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 28 Julai depan.
Sumber: George Town Festival, Sinar Harian








