Dikecam buat konten di TikTok & dijemput ke podcast, bekas banduan akhir kerat 8, Abah Hayat reda | The Reporter

Dikecam buat konten di TikTok & dijemput ke podcast, bekas banduan akhir kerat 8, Abah Hayat reda

Abah Hayat
Sumber gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Khairul Anuar Zakaria, atau lebih dikenali sebagai Abah Hayat, adalah seorang bekas banduan yang terlibat dalam kes pembunuhan kejam pada tahun 2001. Kes ini mendapat perhatian meluas apabila mangsa, seorang tukang besi bernama Chuah Leng Hai, dijumpai dalam keadaan tubuh dikerat kepada lapan bahagian.

Abah Hayat dihukum gantung sampai mati, namun hukuman itu kemudian ditukar kepada penjara seumur hidup selepas beliau mendapat pengampunan pada tahun 2018 daripada Sultan Kedah. Pada tahun 2024, selepas hukuman penjara hayat dimansuhkan, beliau dibebaskan setelah menjalani hukuman selama 23 tahun empat bulan atas kapasiti kelakuan baik.

Dikecam netizen

Selepas dibebaskan, Abah Hayat mula aktif di media sosial, terutamanya di TikTok, untuk berkongsi pengalaman hidupnya semasa di penjara. Namun, tindakannya menulis bio ‘Kes Pembunuhan Kerat 8’ di akaun tersebut mendapat kecaman hebat daripada netizen.

Ramai yang melihat tindakan ini sebagai tidak sensitif dan seolah-olah bangga dengan jenayah lampau yang dilakukannya. Netizen turut mengkritik Abah Hayat tidak mengambil kira perasaan keluarga mangsa yang mungkin terganggu dengan kemunculannya di platform tersebut.

Dijemput ke podcast

Baru-baru ini, Abah Hayat dijemput ke podcast sensasi untuk berkongsi pengalaman hidupnya di penjara serta perjalanan hidup selepas dibebaskan. Namun, jemputan ini menimbulkan persoalan apabila netizen mula mempersoalkan tujuan pihak podcast menjemput seseorang yang pernah terlibat dalam kes jenayah berat.

Mereka menganggap langkah tersebut sebagai tindakan tidak sensitif terhadap keluarga mangsa dan bimbang platform ini seolah-olah memberi penghormatan kepada seorang bekas banduan tanpa memikirkan kesan sosial.

“Saya anggap ini sebagai satu ujian buat saya. Suatu hari nanti mereka (yang kritik) akan faham. Saya akan bersangka baik, dalam 100 orang yang kritik, jika lima daripadanya sudah semakin faham dengan apa yang saya cuba sampaikan, saya sudah bersyukur,” katanya.

Niat berkongsi pengalaman hidup

Setelah menerima pelbagai kecaman, Abah Hayat menyatakan niatnya adalah untuk berkongsi pengalaman hidup sebagai peringatan dan pengajaran kepada masyarakat. Walaupun begitu, Abah Hayat tetap menghadapi tekanan daripada netizen yang menggesa agar beliau lebih berhati-hati dan sensitif dalam menggunakan media sosial.

“Kalau orang menilai abah kerana buat benda ni (jenayah) dulu, apa yang boleh dibuat? Ia sudah berlalu. Kita tidak boleh tarik balik, sudah jadi sejarah. Sekarang ini dan esok adalah harapan. Jangan jadi cacing kepanasan apabila orang komen negatif.

“23 tahun dalam penjara mengajar abah untuk menyerap tekanan ini. Abah berterima kasih kepada yang komen positif dan negatif. Paling penting kita tahu arah tujuan sekarang ini ke arah kebaikan,” ujarnya memetik laporan dari Sinar Harian.

Related Posts