‘Diam andai teruskan AIDS’ – Rafizi dedah isteri terima mesej ugutan | The Reporter

‘Diam andai teruskan AIDS’ – Rafizi dedah isteri terima mesej ugutan

Rafizi Ramli dedah isteri terima dua mesej ugutan
Rafizi Ramli. Gambar: Bernama

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli, mendedahkan bahawa isterinya menerima dua mesej ugutan daripada nombor telefon yang sama dalam tempoh kurang 12 jam.

Menurut beliau, ugutan pertama diterima pada jam 1.12 pagi semalam, manakala mesej kedua dihantar pada jam 11.02 pagi ini melalui aplikasi WhatsApp.

“Isteri saya menerima mesej ugutan. Ugutan yang pertama ialah pada jam 1.12 pagi semalam di nombor telefonnya, dari satu nombor telefon. Mesejnya begini: ‘diam, andai teruskan AIDS’. Itu kami dah sampaikan kepada pihak polis.

“Mesej yang kedua ialah pagi ini pada pukul 11.02, dihantar melalui WhatsApp. Mesejnya sama: ‘diam andai teruskan AIDS’, kemudian emoji picagari tiga kali. Daripada nombor yang sama,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Baca juga:

Rafizi turut menyatakan keyakinan bahawa ugutan itu mungkin akan berterusan dan bertujuan memberi tekanan secara tidak langsung terhadap dirinya.

“Saya ingat perkara ini akan berterusan kerana pada hemat saya, strateginya ialah… oleh kerana saya selalunya tidak makan saman. Kes saman pun saya dah lalui, penjara pun saya dah lalui, hilang jawatan pun saya dah lalui.

“Jadi saya ingat mereka yang terbabit ini merasakan mungkin lebih mudah mempengaruhi keputusan saya kalau melalui isteri. Saya hanya ada anak seorang, jadi maksudnya itu normal, psikologi biasa, kalau isteri dah rasa tak tahan, dia akan cakap kepada suami dia,” katanya.

Beliau memaklumkan semua maklumat berkaitan sudah diserahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

“Saya dah sampaikan maklumat ini kepada pihak polis,” ujarnya.

Terdahulu, Rafizi mendedahkan anak beliau telah diseret dan disuntik dengan jarum suntikan oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Related Posts