'Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama' - Anak hilang sejak Selasa lalu, selepas ditegur ibunya | The Reporter

‘Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama’ – Anak hilang sejak Selasa lalu, selepas ditegur ibunya

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil, dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.

Ibunya, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, percaya anaknya keluar dari rumah mereka di Pudu disebabkan perselisihan faham.

Difahamkan, Syarifah sebelum itu menegur Dhia yang tidak hadir ke sekolah pada hari yang sama.

Dhia kemudian pulang ke rumah pada petang hari itu dan memberitahu ibunya bahawa dia telah keluar untuk membeli barang sebagai kejutan untuk ibunya.

Mendengar jawapan itu, Syarifah marah dan menegur Dhia kerana melakukan aktiviti tersebut pada hari sekolah.

Syarifah kemudian keluar rumah untuk membeli barang dapur dan bila pulang, dia mendapati anaknya sudah tiada. Syarifah mula berasa tidak senang hati apabila Dhia masih belum pulang ke rumah selepas waktu berbuka.

Menurut Syarifah, Dhia kebiasaannya akan pergi ke rumah kawan-kawannya di sekitar kawasan tersebut. Namun, apabila Dhia masih tidak pulang pada hari Rabu, dia mula mencari di rumah kawan-kawannya. Malangnya tiada sesiapa yang tahu di mana keberadaan Dhia.

Syarifah juga menerima maklumat daripada rakan Dhia, yang anaknya mungkin telah mengikut seorang lelaki yang dikenalinya melalui media sosial. Dhia pernah bercerita mengenai individu tersebut, tetapi mereka semua tidak pernah berjumpa dengan individu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Dhia. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Sumber: Bernama

Related Posts