Cuti umum atau cuti sekolah kebanyakan lokasi pelancongan menjadi tumpuan ramai.
Baru-baru ini juga dilaporkan kesesakan di beberapa tempat termasuklah di sempadan Thailand.
Kunjungan rakyat Malaysia ke Thailand terutamanya di Hatyai dikatakan atas faktor makanan sedap dan murah selain tempat penginapan yang menawarkan harga yang berbaloi.
Ada juga pandangan yang mengatakan beberapa tempat di Malaysia seperti di Langkawi adalah mahal membuatkan mereka memilih Thailand sebagai destinasi pilihan.
Bagaimanapun, penasihat kepada Persatuan Niagakawi Langkawi, Datuk Alexander Isaac menegaskan Langkawi masih menjadi lokasi pelancongan yang murah jika dibandingkan dengan Phuket, Thailand, dan Bali, Indonesia.
Ini kerana katanya, lokasi berkenaan diikiraf sebagai lokasi percutian antarabangsa.
“Kalau nak bandingkan (harga) dengan Hatyai susah…tapi kalau bandingkan Phuket atau Bali, kita lagi murah.
“Perspektif Langkawi itu mahal tidak betul, sebaliknya pulau peranginan ini agak berpatutan, bergantung nak pilih penginapan hotel lima bintang atau bajet,” katanya.
Katanya, walaupun cuaca buruk dan tidak menentu, masih ada pelancong yang berkunjung.
“Kalau cuaca buruk pun, resort dan penginapan penuh, bukan tiada orang langsung, mungkin mereka naik kapal terbang yang telah dirancang lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap laluan utama ke pulau berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air (feri).
Sumber: Sinar Harian