Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan bahawa tujuan utama perhimpunan jalanan bukanlah untuk menunjukkan kekuatan atau mencetuskan rusuhan, sebaliknya bagi menyuarakan pandangan rakyat secara aman.
Beliau berkata, pengalamannya sejak era Perhimpunan Bersih 1 hingga Bersih 5 menjadi bukti bahawa demonstrasi boleh dijalankan secara tertib tanpa mengundang kekacauan.
“Pesanan saya kepada petugas dan peserta tetap sama. Kita turun bukan nak tunjuk kekuatan, tapi nak tunjuk perasaan. Jangan usik harta orang, jangan baling batu, jangan rosakkan apa-apa. Kalau boleh, pasu bunga pun jangan terbalik,” katanya.
Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan nama Mat Sabu menegaskan, sebarang perbezaan pendapat wajar diselesaikan mengikut saluran undang-undang dan bukannya melalui keganasan.
“Kalau kita rasa ada perkara tak kena, kita lawan di mahkamah. Bukan dengan tangan, bukan dengan kaki,” ujarnya lagi.
Hormati pihak berkuasa
Mengulas pengalamannya ditahan polis beberapa kali ketika menyertai demonstrasi terdahulu, Mat Sabu berkata beliau tidak pernah menganggap pasukan keselamatan sebagai musuh.
“Mereka buat kerja mereka, kita buat kerja kita. Sampai sekarang pun hubungan saya dengan polis baik. Kita hormat mereka kerana mereka hanya menjalankan tugas,” jelasnya.
- Tragedi Guar Chempedak: Lelaki dan wanita ditemui maut dengan kesan tikaman
- JPJ bakal kuatkuasa pemakaian tali pinggang keledar untuk semua penumpang kereta
- PAS kecam pemaju halau penduduk Kampung Sungai Baru
Trend bahaya jika dibiarkan
Mat Sabu turut melahirkan kebimbangan terhadap trend baharu tunjuk perasaan yang cenderung menjadi ganas, sambil memberi amaran bahawa ia boleh membawa padah kepada rakyat dan negara.
“Kalau jadi rusuhan, kalau tumpah darah sesama rakyat atau dengan anggota keselamatan, apa untungnya? Tak ada siapa yang dapat faedah, negara pula yang rugi.
“Saya orang lama dalam hal demonstrasi ini. Kalau tak dikawal dari awal, benda ini boleh jadi bahaya besar kepada negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa demonstrasi seharusnya kekal sebagai wadah menyampaikan suara rakyat secara aman, bukannya medan untuk menimbulkan huru-hara.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan semasa operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah sekitar Kampung Sungai Baru.
Insiden berkenaan turut mengundang perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan mencederakan penjawat awam, lebih-lebih lagi pegawai polis yang sedang menjalankan amanah, adalah perbuatan keji yang wajib ditolak semua pihak.