Demi sokongannya terhadap atlet negara di Sukan Olimpik Paris, seorang lelaki yang berasal dari Sabah, Yap Ken Vun sanggup membelanjakan RM12,000 untuk ke Perancis.
Eksekutif sumber manusia itu berkongsikan, wang sejumlah RM12,000 itu merupakan hasil tabungan selama beberapa tahun.
“Untuk sampai ke sini, saya menabung dan wujudkan satu akaun bank yang memang khas untuk ke Sukan Olimpik. Lebihan wang semua saya masukkan dalam akaun itu,” katanya
Ken Vun sebelumnya tular di media sosial apabila gambar dan videonya menggayakan pakaian tradisional Kadazan Dusun.
Lagi menambah keterujaan beliau apabila dapat menyaksikan sendiri atlet beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Lee Zii Jia beraksi dari awal permulaan sehingga meraih pingat gangsa.
Katanya, kekangan kos juga menyebabkan beliau tidak dapat memberikan sokongan kepada semua atlet.
“Jadi, saya hanya dapat ke acara badminton dan olahraga saja untuk menyokong pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bagi acara 100 meter.
“Biarpun belum dapat menyaksikan atlet negara meraih emas di depan mata, kemenangan dua pingat gangsa juga membuatkan saya berpuas hati, bangga juga berasa berbaloi datang sejauh ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Ken Vun