Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pelbagai idea kreatif yang dihasilkan oleh mangsa-mangsa banjir untuk berlindung daripada terkena masalah yang lebih besar.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ada penduduk yang membuat benteng dengan menggunakan guni pasir bagi menghalang air masuk ke rumah. Dan ada juga yang melekatkan platesin untuk perkara yang sama.
Di Kampung Chapu, Kuala Berang pula, seorang lelaki telah mengikat tiga tong dram besi di bahagian bawah katil boleh laras bapanya yang terlantar sakit bagi memberikan keselesaan ketika rumah mereka dilanda banjir.
Idea berkenaan kata Zulkifli merupakan cadangan daripada penduduk kampung susulan bapanya sudah tidak mampu untuk bangun atau duduk sejak menghidap penyakit saraf.
“Ayah sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lepas, namun sebelum ini dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tapi tahun ini ayah tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya mampu terlantar di atas katil.
“Sebelum ini apabila rumah dinaiki air ayah akan duduk di atas kerusi yang ada pemegang dan saya bersama penduduk kampung akan angkat ayah bersama kerusi itu untuk naik ke atas loteng rumah. Jadi tahun ini saya memikirkan cara supaya tidak perlu lagi mengangkat ayah naik ke atas loteng,” katanya.
Katanya kaedah yang digunakan itu membolehkan katil bapanya terapung di atas air dan mudah dipusingkan ke arah kiblat serta bapanya tidak perlu lagi diangkat naik ke atas loteng atau berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagaimanapun Zulkifli berkata, sekiranya keadaan banjir semakin memburuk dan diarahkan berpindah ke PPS, mereka sekeluarga akan berikhtiar untuk memujuk dan membawa ayahnya ke PPS.
Sumber: Sinar Harian