Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Status halal makanan dan minuman tidak bergantung kepada hiasan atau dekorasi premis, sebaliknya ditentukan sepenuhnya oleh sumber bahan serta cara penyediaannya, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Muhamad Akmal Saleh.
Beliau mengulas pemakluman Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) yang menyatakan bahawa premis makanan dan hotel berpensijilan halal tidak dibenarkan membuat hiasan sambutan Krismas di dapur atau outlet tertentu. Menurut Akmal, pendekatan itu perlu dinilai semula kerana ia tidak menjejaskan status halal makanan.
Halal bergantung sumber, bukan dekorasi
“Penentuan halal bagi makanan dan minuman ini adalah 100 peratus bergantung kepada makanan dan minuman tersebut, bukan bergantung kepada dekorasi,” kata Akmal dalam hantaran Facebooknya.
Beliau menegaskan, selagi sumber makanan dan minuman adalah halal serta penyediaannya dilakukan mengikut kaedah yang betul, status halal kekal sah.
“Kalau sumber makanan dan minuman itu daripada yang halal, sudah terbukti halal dan cara penyediaannya itu pun cara yang halal, maka makanan dan minuman itu adalah halal. Tiada kena mengena dengan dekorasi,” jelasnya.
Baca juga:
- Ambil kira keresahan masyarakat setempat, batalkan projek ternakan babi Bukit Tagar – PM
- Laporan akhir sahkan bas bawa penuntut UPSI masuk selekoh pada kelajuan 114.7 km/j
- ‘Lu siapa? Itu sangkaan jahat YB’ – Pengarah Urusan Mydin Bidas MP DAP
Akmal turut memberi contoh makanan halal yang disediakan di premis bukan Islam.
“Jika ada penyediaan makanan dan minuman dalam gereja yang disediakan oleh bukan Muslim, tetapi sumber makanan dan minuman itu adalah halal dan penyediaannya itu adalah penyediaan yang baik, maka makanan itu tetap halal,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu turut dipersetujui beberapa mufti yang telah dihubunginya.
“Kami bersetuju penentuan halal makanan dan minuman ini bergantung kepada sumber makanan tersebut dan juga cara penyediaannya. Dekorasi ini tidak ada kena mengena,” katanya lagi.
Gesaan semak semula keputusan
Akmal memaklumkan beliau telah berbincang dengan Exco Agama Melaka, Datuk Rahmat Mariman dan meminta JAIM meneliti semula keputusan tersebut.
“Bagi saya ia tidak adil sebab dekorasi itu… tidak menjadikan makanan dan minuman yang telah disahkan halal itu menjadi haram,” katanya sambil menegaskan bahawa pemilik premis bukan Muslim yang memiliki sijil halal wajar diberikan ruang untuk membuat hiasan perayaan.
“Sekali lagi saya nak tekankan, dekorasi Merry Christmas ataupun apa sekalipun, tidak menjejaskan status halal bagi makanan dan minuman tersebut,” katanya.








