DBKL cadang bina sekolah 17 tingkat, netizen risau isu keselamatan | The Reporter

DBKL cadang bina sekolah 17 tingkat, netizen risau isu keselamatan

Cadangan sekolah menegak DBKL menimbulkan kebimbangan netizen.
Sekolah menegak 17 tingkat dicadangkan DBKL, tetapi ramai bimbang isu keselamatan dan penyelenggaraan lif.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak bagi mengatasi masalah keterbatasan tanah di ibu negara. Cadangan ini melibatkan pembinaan dua blok bangunan setinggi 10 hingga 17 tingkat di kawasan bandar raya, selaras dengan peningkatan jumlah penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata konsep ini telah diguna pakai di beberapa negara maju seperti Australia dan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum pelaksanaannya.

“Model ini membolehkan sekolah dibangunkan secara padat tanpa menjejaskan elemen penting seperti ruang pembelajaran, sukan dan rekreasi. Padang permainan dan kemudahan lain boleh dioptimumkan dengan penggunaan ruang atas bumbung,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Selasa, 18 Februari 2025.

Bagaimanapun, cadangan ini mengundang pelbagai reaksi, khususnya kebimbangan mengenai isu keselamatan dan penyelenggaraan. Ramai berpandangan bahawa sekolah setinggi itu berpotensi menimbulkan masalah jika lif mengalami kerosakan, sekali gus menyukarkan pergerakan pelajar dan guru.

Selain itu, ada yang menekankan risiko keselamatan murid, terutama jika berlaku kecemasan seperti kebakaran atau kejadian tidak diingini yang melibatkan pelajar terjatuh dari bangunan tinggi.

Sebahagian netizen turut mempersoalkan keperluan membina sekolah baharu sedangkan terdapat banyak bangunan kosong yang boleh diubah suai menjadi sekolah. Mereka juga meragui keupayaan pihak berwajib untuk menyelenggara lif dengan kerap, memandangkan masalah penyelenggaraan sering menjadi isu di sekolah kerajaan.

Walaupun ada yang menyokong idea ini sebagai satu inovasi yang boleh menyelesaikan masalah ruang di bandar, ramai berpendapat bahawa kajian lebih mendalam perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaannya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.

Sumber: Harian Metro

Related Posts