Selepas insiden seorang lelaki menampar seorang pelajar Tingkatan Lima hingga cedera di bahagian hidung tular minggu lalu, satu lagi rakaman baru dari kamera papan pemuka (dashcam) lelaki terbabit mula tersebar di media sosial sejak semalam, memberikan gambaran baharu mengenai kejadian tersebut.
Baca laporan berkaitan: Lelaki tampar pelajar sekolah beri penjelasan, akui kesilapan dan serah diri kepada polis
Pada awalnya, video pertama yang tular hanya menunjukkan keadaan pelajar berusia 17 tahun itu yang mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas ditampar. Susulan tularnya rakaman itu, polis menjalankan siasatan dan menahan lelaki berusia 39 tahun tersebut untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, rakaman dashcam yang tersebar semalam mendedahkan detik sebelum kejadian, di mana pelajar tersebut dilihat membelok secara mengejut ke kanan dari laluan bertentangan. Tindakan itu menyebabkan lelaki berkenaan terkejut dan terpaksa menekan brek kecemasan bagi mengelak perlanggaran.

Tonton video penuh di SINI
Rakaman terbaru ini mencetuskan reaksi bercampur-baur dalam kalangan netizen. Ada yang menganggap tindakan pelajar itu memang berbahaya dan boleh mengundang kemalangan serius, manakala sebahagian lagi tetap berpendapat bahawa meskipun marah, lelaki terbabit tidak sepatutnya bertindak agresif hingga mencederakan pelajar berkenaan.
- Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
- Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
- Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan
- Dakwaan penerima bakul makanan didaftar sebagai ahli, PKR Pahang dapatkan penjelasan
- Hantaran lelaki minta bakal isteri sediakan bekal sarapan cetus debat netizen
Terdahulu, polis telah menahan lelaki terbabit selepas menerima laporan daripada pelajar tersebut yang mendakwa dirinya ditumbuk sehingga mengalami retak tulang hidung. Siasatan turut mendapati pelajar berkenaan tidak memiliki lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek telah direman selama sehari pada Sabtu bagi membantu siasatan.
“Selepas remannya tamat, suspek dibebaskan dengan jaminan polis. Polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Polis kini sedang meneliti semua bukti termasuk rakaman dashcam bagi menentukan tindakan lanjut terhadap kedua-dua pihak yang terlibat.








