Sehelai bendera Jalur Gemilang bersaiz gergasi kini berkibar megah di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, selepas DAP menunaikan janji untuk menaja pemasangannya susulan kontroversi bendera terbalik yang tular baru-baru ini.
Pemasangan dilakukan petang tadi sekali gus menjadi simbol perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan serta penegasan parti itu terhadap penolakan budaya membuli warga emas.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu turut disertai pengedaran 831 Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda solidariti, sekiranya ada pihak cuba mengganggu premis tersebut.
“Ini adalah perbuatan membuli secara terang-terangan yang sama sekali tidak boleh diterima. Buli mesti ditentang, bukan sahaja di sekolah tetapi juga apabila ia menyasarkan warga emas,” katanya sambil mengkritik tindakan pihak tertentu yang mahu mengadakan protes sekiranya tiada pendakwaan dibuat.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Kecam tekanan politik terhadap AGC
Anthony Loke turut mengecam tindakan kumpulan yang memberi tekanan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pemilik kedai, menyifatkannya sebagai campur tangan politik yang cuba mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa penelitian sewajarnya.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini memberi amaran akan mengadakan protes di premis tersebut sekiranya pemiliknya tidak didakwa sebelum Khamis, selain menyatakan beliau sendiri akan “mengajar Ah Pek itu cara betul memasang bendera”.
Pemilik nafi sengaja, DAP janji pertahan keharmonian
Pemilik kedai berusia 59 tahun itu menjelaskan, kejadian berlaku ketika mengukur batang besi sebelum bendera dipasang dan kesilapan itu segera dibetulkan. Namun, beliau tetap ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Alwi Zainal Abidin berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim menegaskan pihaknya akan terus berada di lapangan bagi mempertahankan keamanan dan mengelakkan provokasi.
“Isu bendera terbalik di Kepala Batas telah diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk disiasat mengikut undang-undang. Tiada ruang untuk mana-mana pihak ketiga mengeksploitasi atau membakar sentimen.
“Jika ada yang datang mengancam, kami akan menyambut mereka dengan pemberian Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kasih sayang kepada negara,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today, Berita Harian








