Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang ibu tidak menyangka, bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan telah pergi dalam sekelip mata, tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit.
Menurut Syahierah Zainal, beberapa jam sebelum kejadian, Naura Ameena Muhamad Yusri, 7 bulan, beliau mendodoikan bayinya sehingga tertidur sekitar jam 9 malam.
Kira-kira jam 9 hingga 10 malam, suaminya, Muhamad Yusri, masuk ke bilik untuk menidurkan anak lelaki dan alangkah terkejut apabila mendapati badan Naura kebiruan dan tidak bergerak, lalu segera memaklumkan kepada isterinya.
Naura kemudian segera dikejarkan ke klinik berdekatan. Namun, doktor mengesahkan Naura telah meninggal dunia.
“Dunia saya gelap seketika. Dalam masa sejam sahaja, Allah mengambil Naura. Saya tak mendengar Naura menangis atau menunjukkan sebarang simptom.
“Saya menyalahkan diri sendiri kerana menjadi orang terakhir yang menidurkan Naura, berfikir mungkin Naura tersedak susu atau lemas,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Setelah selesai menjalani post mortem, doktor menjelaskan Nuara meninggal dunia bukan disebab tersedak susu ataupun lemas. Tetapi disebabkan jangkitan kuman yang memenuhi limpa, usus dan perut.
Punca jangkitan tidak dapat dikesan dan doktor menganggap kes ini jarang berlaku. Sampel telah diambil dan dihantar ke makmal untuk analisis lanjut.
Walaupun berat hati menerima kejadian itu, Syahierah reda dengan ketentuanNya. Malah, beliau lega selepas mengetahui Naura pergi tanpa rasa sakit. Tetapi terkejut kerana Naura tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit.
Selesai post mortem, jenazah Naura diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian.
“Walaupun hanya tujuh bulan Allah meminjamkan Naura, saya redha dan menerima qada’ dan qadar Allah. Naura kini bermain di syurga bersama kawan-kawannya.
“Naura selalu berada dalam hati mama, papa dan Abang Noah,” katanya.








