Penyanyi rap dan personaliti media sosial, Caprice menggesa pihak berkaitan memberikan perhatian segera terhadap dakwaan kelakuan tidak wajar seorang motivator yang dikatakan terlibat dalam program sekolah.
Menerusi hantaran di media sosial, Caprice berkongsi rakaman perbualannya dengan individu yang menceritakan pengalaman serta maklumat berkaitan lelaki berkenaan.
Caprice menegaskan sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar, selain memaklumkan pihaknya sedang membantu menghimpunkan maklumat daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa.
“Sekolah sepatutnya selamat daripada orang-orang macam motivator itu. Pihak kami tengah bantu kumpulkan semua mangsa, insya-Allah,” katanya dalam hantaran yang turut menandai akaun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam salah satu rakaman yang dikongsikan, seorang individu mendakwa mula mengenali motivator berkenaan pada 2024 ketika berusia 16 tahun, selepas menyertai program yang dianjurkan di bawah sekolah.
Menurut individu itu, lelaki berkenaan kemudian menghubunginya dan menawarkan untuk menjadikannya adik angkat dengan alasan mahu mempunyai adik perempuan.
Perbualan bertukar isu peribadi
Dia mendakwa perbualan mereka pada awalnya berkisar mengenai pelajaran, sebelum beralih kepada pertanyaan peribadi termasuk pakaian yang dipakainya.
Motivator itu juga didakwa menawarkan tambah nilai telefon, mengajaknya keluar berdua ke sebuah pusat beli-belah di Kedah serta bertanya waktu tamat persekolahan dengan menawarkan untuk mengambilnya di sekolah.
Individu berkenaan turut mendakwa menerima rakaman pendek yang memaparkan dirinya melakukan pergerakan seperti senaman, namun tidak dapat memastikan siapa yang merakam video tersebut.
Dia kemudian menyeru individu lain yang mempunyai pengalaman berkaitan supaya tampil dan membuat laporan polis.
Dalam satu lagi rakaman perbualan bersama Caprice, seorang individu mendakwa mengenali lelaki berkenaan selepas menerima pelawaan untuk bekerjasama dalam program motivasi.
Menurutnya, hubungan mereka menjadi rapat sebagai rakan selepas dia turut memberikan ceramah dalam program yang dikendalikan lelaki itu.
Individu tersebut mendakwa lelaki berkenaan berkongsi cerita berunsur seksual dengannya, selain pernah menghantar video yang didakwa memaparkan perlakuan seksual melibatkan pelajar sekolah.
Dalam rakaman tersebut, Caprice bertanya sama ada individu berkenaan bersedia tampil sebagai saksi dan membuat laporan polis.
Kes membimbangkan
Menerusi kapsyen hantaran, Caprice menyifatkan dakwaan itu sebagai antara kes paling membimbangkan yang pernah diketahuinya dan menyeru supaya bantuan segera diberikan kepada kanak-kanak yang mungkin terjejas.
Beliau turut menyatakan menerima maklumat bahawa isu membabitkan individu berkenaan pernah tular pada 2019 dan 2023 dan mendakwa belum ada tindakan diambil. Namun, perkara itu belum dapat disahkan berdasarkan bahan yang dikongsikan.








