D’Apple Fried Chicken (DAFC) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kononnya terdapat ‘ulat’ dalam produk yang dibeli di outlet DAFC Airport Kota Bharu, sebaliknya menjelaskan objek berkenaan adalah biji bijan yang digunakan dalam menu Korean Wings.
Menurut kenyataan syarikat itu, pihaknya segera menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh sebaik menerima aduan, termasuk meneliti produk, rakaman berkaitan serta prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan.
“Hasil semakan mendapati objek yang didakwa sebagai ulat mempunyai ciri konsisten dengan biji bijan yang sememangnya digunakan sebagai ramuan menu Korean Wings. Keadaan yang didakwa ‘berlendir’ pula adalah lapisan sos Korean yang bertekstur pekat dan melekat,” menurut kenyataan itu.
DAFC menegaskan, siasatan setakat ini tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan berkenaan seperti yang tular di media sosial.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa outlet berkenaan beroperasi mengikut SOP ketat serta kawalan keselamatan makanan yang tinggi, termasuk pemantauan berterusan terhadap proses penyimpanan bahan mentah, penyediaan makanan dan kebersihan premis.
Baca juga:
- Agong zahir pandangan, nasihat hala tuju pembangunan Kuala Lumpur
- DAFC nafi dakwaan produk mengandungi ulat
- Keluarga terus berdoa, nantikan khabar baik Jaslinda
Tindakan undang-undang
Dalam masa sama, DAFC memaklumkan pihaknya telah menghubungi pengadu untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mencari penyelesaian secara baik, namun dakwaan tersebut telah pun tersebar luas sehingga menjejaskan reputasi syarikat serta pihak berkaitan.
DAFC turut mengalu-alukan pemeriksaan oleh mana-mana agensi kerajaan atau pihak berkuasa bagi mengesahkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis mereka.
Syarikat itu juga memaklumkan perkara berkenaan telah dirujuk kepada penasihat undang-undang dan laporan polis telah dibuat bagi tujuan rekod serta siasatan lanjut, selain menegaskan komitmen untuk terus mengekalkan standard kebersihan dan kualiti makanan pada tahap tertinggi.









