Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pempengaruh sensasi, Cik Epal, baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai apabila mendedahkan kadar bayaran bagi ulasan produk di media sosialnya.
Menurut perkongsian yang dibuat, harga bagi satu reviu bermula dari RM20,000 hingga mencecah RM100,000, bergantung kepada jenis promosi yang diminta. Salah satu bayaran tertinggi dalam senarai itu ialah RM100,000 untuk sesi siaran langsung selama empat jam di TikTok.
Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan sebahagian mempersoalkan harga yang dianggap tinggi.
Dalam temu bual bersama Kosmo!, Cik Epal atau nama sebenarnya, Murni Mahmud, menjelaskan bahawa kadar bayaran tersebut bukan direka-reka, sebaliknya berdasarkan peningkatan popularitinya sejak kebelakangan ini.
“Saya rasa harga itu bersesuaian dengan hasil yang akan saya berikan. Kalau ada yang mahu bayar, saya akan buat dengan sehabis baik. Klien yang pernah bekerja dengan saya pasti tahu saya akan ‘all out’. Insya-Allah mereka boleh dapat pulangan sehingga lima kali ganda,” katanya.
Beliau turut menegaskan walaupun bukan seorang selebriti atau artis, dirinya tetap mempunyai pemahaman mendalam mengenai pasaran dan harga tersebut masih boleh dirunding.
Tambahnya, selepas perkongsian mengenai kadar bayaran itu tular, beliau menerima panggilan daripada dua syarikat yang berminat untuk bekerjasama.
“Memang sebelum ini ada yang sanggup bayar harga tersebut. Saya tak buka untuk reviu sebelum ini kerana fokus kepada perniagaan sendiri. Tapi bila nama makin dikenali, saya ambil peluang ini sambil tetap menjaga nilai diri saya,” jelasnya.