Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang telah diberikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui pelantikan beliau sebagai penasihat badminton dan Duta Sukan Johor.
Menerusi kenyataan di Facebook, Lee Chong Wei berkata, beliau bersedia untuk memberikan komitmen untuk memajukan pembangunan sukan di Johor dan Malaysia.
“Saya amat berbesar hati dan berasa sangat rendah diri atas kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor melalui pelantikan saya sebagai penasihat badminton dan Duta Sukan Johor.
“Semangat Duli Yang Amat Mulia yang tidak berbelah bahagi terhadap sukan dan dedikasi baginda terhadap pembangunan sukan amat mengagumkan. Saya berkongsi komitmen ini dan akan berusaha sedaya upaya untuk memajukan pembangunan sukan di Johor dan Malaysia.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku atas peluang yang luar biasa ini,” katanya.
Memetik laporan dari Berita Harian, beberapa atlet bertaraf dunia turut dinamakan dalam usaha menggiatkan program pembangunan sukan dan belia di negeri itu.
Antara legenda yang turut disenaraikan ialah Sonny Bill Williams (ragbi), Khabib Nurmagomedov (bela diri) dan Tim Cahill (bola sepak).








