Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Malaysia telah dipilih oleh China sebagai tuan rumah dalam acara sambutan Tahun Baru Cina yang pertama kali diadakan di luar negara berkenaan pada 23 Januari.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi kenyataan di Facebook.
Katanya, menerusi pertemuan bersama Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli ketika penganjuran China International Travel Mart di Shanghai kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada kerjasama budaya dan pelaksanaan projek-projek berkaitan yang memanfaatkan kedua-dua negara.
“Menteri Sun menyatakan pertalian budaya yang mendalam antara China dan Malaysia menyerlahkan usaha aktif China mengindustrikan sektor kebudayaannya.
“Justeru, beliau mencadangkan kedua-dua negara meneroka pembangunan bersama dalam bidang ini. Beliau juga mengumumkan bahawa acara sambutan Tahun Baru Cina yang penuh dengan tradisi Cina, akan diadakan di luar negara buat kali pertama pada 23 Januari, bertepatan dengan “Tahun Baru Kecil.”
“Malaysia telah dipilih sebagai negara tuan rumah, dengan persiapan yang sedang giat dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, negara China telah memuktamadkan senarai penghibur yang akan mengambil bahagian dan meminta Malaysia memberikan sokongan dan juga promosi.
“Pihak China pula telah mula memuktamadkan senarai penghibur yang akan mengambil bahagian dan menggesa Malaysia untuk memberikan sokongan dan memaksimumkan kempen promosi,” katanya.








