China akan menaikkan tarif ke atas barangan dari Amerika Syarikat kepada 125% bermula Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Kewangan China hari ini.
Langkah ini adalah peningkatan ketara berbanding tarif 84% yang diumumkan pada Rabu lalu, bertujuan menyamai kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika terhadap barangan dari China.
Beijing berkata tarif baharu Amerika terhadap China melanggar undang-undang ekonomi asas dan logik biasa, selepas bekas Presiden Donald Trump menaikkan kadar tarif ke atas import China kepada 125%.
Kementerian Kewangan China menyifatkan tindakan tersebut sebagai “buli dan paksaan secara unilateral” oleh Amerika Syarikat.
Namun begitu, China menjelaskan bahawa kenaikan tarif ini hanyalah tindak balas kepada tarif AS, yang sebelumnya menambah 125% pada kadar sedia ada 20%.
Walaupun begitu, China menyatakan tidak akan bertindak balas terhadap sebarang tarif tambahan yang bakal dikenakan oleh AS selepas ini.
Memetik Daily Mail, Presiden China, Xi Jinping, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pada Jumaat, menyeru kerjasama antara China dan Eropah bagi menentang ‘buli unilateral’ dari AS.
Xi turut menyebut bahawa penangguhan selama 3 bulan terhadap tarif tinggi ke atas 57 negara adalah hasil tekanan daripada China, sebagai tanda niat baik Beijing.
“China dan Eropah perlu menunaikan tanggungjawab antarabangsa… dan bersama menolak amalan buli unilateral,” katanya.
Beliau menambah, tindakan itu bukan sahaja untuk melindungi hak dan kepentingan sendiri, malah juga untuk menegakkan keadilan ekonomi global.
Pertahankan kedudukan
Walaupun semakin terasing akibat perang tarif yang dilancarkan oleh pentadbiran Trump, China tetap bersedia untuk mempertahankan kedudukannya.
“Tiada siapa menang dalam perang tarif. Menentang dunia hanya akan menyebabkan AS mengasingkan diri,” tegas Xi Jinping.
Namun, Xi juga berkata, jika AS meneruskan kenaikan tarif, China akan abaikan kerana ia “sudah tidak masuk akal dari segi ekonomi dan akan jadi bahan jenaka.
Sementara itu, China dilaporkan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai tarif tambahan oleh Amerika Syarikat.








