Betavolt, sebuah syarikat dari China, telah memperkenalkan bateri BV100 yang saiznya lebih kecil daripada duit syiling. Bateri ini dikatakan mempunyai jangka hayat sekitar 50 tahun dan tidak memerlukan pengecasan.
Walaupun bateri atomik bukanlah sesuatu yang baru dan telah dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan USSR pada tahun 1960-an, bateri nuklear ini pada masa itu adalah besar, berbahaya, dan mahal untuk dibuat.
Namun, dengan kemajuan sains pada hari ini membolehkan Betavolt menghasilkan bateri yang lebih selamat dan revolusioner dengan menggunakan nikel-63, sebuah isotop yang merosot kepada isotop tembaga yang stabil, berbanding plutonium yang digunakan dalam bateri atomik pertama.
Bateri BV100 selamat untuk pengguna
Bateri BV100 baru ini, yang mempunyai ukuran hanya 15mm x 15mm x 5mm, menggunakan bahan semikonduktor berlian yang membolehkannya berfungsi dengan stabil dalam persekitaran suhu -60 hingga 120 darjah Celsius. Berbeza dengan bateri konvensional yang hanya menyimpan tenaga, BV100 menghasilkan elektrik secara berterusan seiring dengan penurunan isotop.
Betavolt yang berpangkalan di Beijing mendakwa, mereka adalah syarikat yang pertama berjaya mengecilkan tenaga atom dengan memasukkan 63 isotop nuklear ke dalam bateri yang lebih kecil daripada duit syiling. Kemajuan ini telah meletakkan mereka jauh ke hadapan berbanding institusi akademik dan komersial Eropah dan Amerika.
Walaupun istilah “bateri atomik” mungkin menimbulkan kebimbangan, Betavolt menegaskan bahawa bateri BV100 mereka adalah selamat untuk pengguna dan tidak akan mengalami kebocoran radiasi walaupun pelindung bateri ditebuk.
Smartphone, dron, tak perlu dicas lagi
Mereka juga merancang untuk memulakan pengeluaran bateri secara besar-besaran pada tahun ini dan akan memperkenalkan versi yang lebih kuat pada tahun 2025. Betavolt turut merancang untuk menyasarkan industri seperti aeroangkasa, peralatan perubatan, peranti AI, dron kecil, robotik, dan hampir semua industri yang memerlukan bateri dengan jangka hayat 50 tahun.
Walaupun BV100 dianggap sebagai pencapaian baru di pelbagai peringkat, output kuasa 100 mikrowatt pada 3 volt yang dihasilkannya tidak begitu mengagumkan menurut beberapa laman berita teknologi. Namun, Betavoolt merancang untuk melancarkan bateri atomik 1-watt baru pada tahun 2025 dan dengan peningkatan teknologi, pengguna mungkin akan melihat bateri telefon pintar yang tidak memerlukan pengecasan pada masa akan datang.
Menurut kenyataan di laman web syarikat, bateri ini boleh membolehkan peranti seperti telefon pintar beroperasi tanpa henti tanpa pengecasan atau dron terbang tanpa mendarat.
Walaupun BV100 dan penggantinya 1-watt cukup mengagumkan, Betavolt kini sedang mencari cara untuk meningkatkan jangka hayat dan output kuasa bateri atomik mereka. Mereka sedang bereksperimen dengan isotop seperti strontium-90, promethium-147, dan deuterium, dengan harapan dapat menghasilkan bateri dengan jangka hayat 230 tahun.