Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pendidikan (KPM) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama seluruh negara dengan peruntukan RM3 juta. Langkah ini diambil bagi memperkukuh keselamatan pelajar yang tinggal di asrama, terutama di sekolah berkapasiti besar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, menjelaskan pemasangan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan serta bilangan pelajar di sesebuah sekolah.
“Asrama yang besar dan mempunyai jumlah pelajar ramai akan diberi keutamaan,” katanya memetik laporan Bernama, Rabu, 4 September 2025.
Beliau turut menegaskan CCTV tidak boleh dipasang secara sembarangan kerana aspek privasi pelajar perlu dijaga. Justeru, pihak kementerian akan mendapatkan pandangan pakar bagi menentukan lokasi sesuai.
Baca juga:
- Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
- Remaja terselamat dari diculik, gigit tangan suspek sebelum lari selamatkan diri
Warden guru diberi keutamaan
Selain pemasangan CCTV, KPM juga sedang meneliti cadangan penambahan warden asrama. Mohd Azam menegaskan warden dalam kalangan guru lebih sesuai kerana mereka bukan sahaja mengurus kebajikan pelajar, malah boleh merancang aktiviti pendidikan.
“Ada cadangan supaya guru warden ini hanya mengajar empat hingga lima waktu seminggu, selebihnya fokus menjaga pelajar di asrama,” jelasnya.
Inisiatif CCTV dan penambahan warden ini menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan keselamatan pelajar di sekolah berasrama terus terjamin. KPM menegaskan pihaknya komited melaksanakan langkah terbaik tanpa menjejaskan privasi dan kesejahteraan pelajar.








