Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
KUALA LUMPUR, 27 Nov 2024: Catcha Digital Berhad (“Catcha Digital” atau “Syarikat”) telah mengumumkan laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (“Q3 FY2024”).
Bagi Q3 FY2024, syarikat melaporkan pendapatan tertinggi sebanyak RM11.14 juta. Ini adalah peningkatan besar berbanding Q3 FY2023, apabila syarikat mencatatkan pendapatan RM7.19 juta, menunjukkan pertumbuhan 55% tahun ke tahun. Catcha Digital juga merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.21 juta pada Q3 FY2024, menjadikan jumlah keuntungan selepas cukai bagi sembilan bulan pertama sebanyak RM3.43 juta.
“Kami berbangga dengan pasukan kami kerana berjaya mencapai pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan walaupun dalam persekitaran makroekonomi yang tidak menentu, hasil fokus tinggi terhadap keupayaan inovasi produk.
“Sepanjang suku ini, kami telah melancarkan pelbagai penyelesaian pengiklanan inovatif seperti pengiklanan realiti tambahan dan kempen luar talian ke dalam talian, membolehkan pengiklan kami berhubung dengan pelanggan mereka dengan lebih berkesan. Kami kekal fokus untuk mencapai pertumbuhan dan keuntungan yang mampan untuk para pemegang saham kami,” kata Eric Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Catcha Digital.
“Kami gembira dengan pencapaian pendapatan rekod ini dalam suku kelima kami selepas keluar dari status GN2 pada Julai 2023, dan kami akan terus berusaha mengekalkan momentum ini.
“Dalam misi membina kumpulan digital yang menguntungkan dan terkemuka di Asia Tenggara, kami akan terus mencari kerjasama strategik, pelaburan, dan pengambilalihan yang boleh meningkatkan pendapatan sesaham. Prospek perniagaan kekal cerah, dan kami teruja untuk melaksanakan peluang besar yang akan kami kongsikan dengan pasaran tidak lama lagi,” kata Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.
Pada 28 Jun 2024, Catcha Digital mengumumkan usaha sama dengan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, pengasas Keluar Sekejap, untuk membentuk perniagaan media digital baharu bernama KS Lagi. KS Lagi telah dilancarkan pada Oktober 2024 dan berjaya menarik jenama global seperti MG Motor, Honor, dan Vico sebagai pengiklan.








