Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Catcha Digital Berhad (“Catcha Digital”) hari ini mengumumkan pihaknya telah menandatangani perjanjian jual beli saham untuk memperoleh 70% pegangan ekuiti dalam Tastefully Malaysia Sdn Bhd (“Tastefully”) dengan nilai tunai RM7.6 juta.
Bayaran tersebut akan dilaksanakan dalam 4 ansuran sepanjang 36 bulan dan bergantung kepada pencapaian keuntungan selepas cukai (“PAT”) yang dijangka. PAT ini diunjurkan sebanyak RM0.5 juta bagi tahun kalendar 2024, RM1.1 juta untuk tempoh 12 bulan selepas tarikh penyempurnaan, RM1.4 juta bagi tempoh 13 hingga 24 bulan, dan RM1.6 juta untuk tempoh 25 hingga 36 bulan selepas penyempurnaan.

Pengambilalihan strategik ini merupakan langkah Catcha Digital untuk terus memperkukuhkan perniagaan media digital bersepadu, sekali gus menyediakan penyelesaian pengiklanan omnichannel secara dalam talian dan luar talian kepada pelanggan. Transaksi ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan syarikat.
Tastefully ialah syarikat penganjur ekspo makanan pengguna terkemuka di Malaysia, dengan acara utama di lokasi seperti Pusat Pameran Mid Valley (KL), Pusat Pameran Mid Valley Southkey (Johor), Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Sejak 13 tahun lalu, syarikat ini telah menganjurkan lebih 100 ekspo dengan kehadiran tahunan lebih 1.2 juta pengunjung dan lebih 21,000 hubungan dengan pempamer. Tastefully juga membina kerjasama erat dengan jenama utama F&B seperti Beacon Mart dan Guardian, serta agensi kerajaan seperti Lembaga Koko Malaysia.
Pengambilalihan ini membuka peluang kerjasama antara pangkalan pelanggan Catcha Digital dan pelanggan Tastefully. Catcha Digital dapat menawarkan penyelesaian pengiklanan langsung kepada pelanggannya menerusi Tastefully, manakala Tastefully dapat memanfaatkan kepakaran digital Catcha Digital bagi meningkatkan pengalaman acara dan tawaran pengiklanan untuk pelanggan mereka, khususnya jenama F&B.

“Industri F&B di Malaysia adalah antara sektor paling dinamik dari segi penglibatan pengguna dan pembinaan jenama. Pengambilalihan ini menggabungkan kepakaran Tastefully dalam menganjurkan acara berskala besar dengan keupayaan digital Catcha Digital.
“Kami percaya gabungan ini akan membuka peluang menarik untuk pengiklan sedia ada sambil mencipta laluan pertumbuhan baharu,” kata Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tastefully, Esther Fong berkata, “Kami sangat teruja menyertai keluarga Catcha Digital. Langkah ini membolehkan kami menawarkan penyelesaian pengiklanan yang lebih menyeluruh merangkumi titik sentuh fizikal dan digital. Kami yakin gabungan kepakaran kedua-dua pihak akan membawa perniagaan kami ke tahap seterusnya.”
Pengambilalihan ini sejajar dengan visi Catcha Digital untuk membina kumpulan digital terkemuka di ASEAN, sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital rantau ini yang bernilai kira-kira RM1 trilion menurut laporan SEA e-Conomy 2023 oleh Google, Temasek, dan Bain & Company.








