Siapa bakal Ketua Polis Negara baharu? Tiga nama ini jadi tumpuan! | The Reporter

Siapa bakal Ketua Polis Negara baharu? Tiga nama ini jadi tumpuan!

Tan Sri Razarudin Husain ketika menyampaikan ucapan sebagai Ketua Polis Negara
Teka-teki pengganti Razarudin makin hangat. Tiga nama dikatakan dalam pertimbangan.

Tempoh kontrak Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dijangka tamat Jun ini, sekaligus mencetuskan spekulasi mengenai siapakah yang bakal menggantikan beliau menerajui tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara nama yang sering disebut dalam kalangan pemerhati dan media ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim; serta Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Bagaimanapun, pelantikan jawatan tertinggi dalam PDRM ini adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim menegaskan bahawa calon KPN perlu memiliki integriti tinggi, tegas dalam tindakan dan bersih daripada sebarang pengaruh negatif.

“Jawatan ini sangat penting. Ia harus diisi oleh individu yang bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berwibawa serta diyakini masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Halim Ishak daripada Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia berkata, walaupun secara tradisinya jawatan ini diisi oleh Timbalan KPN, tidak mustahil calon luar juga dipertimbangkan, seperti dalam beberapa pelantikan ketenteraan sebelum ini.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh pula berpandangan bahawa jawatan Timbalan KPN memang direka sebagai laluan ke jawatan nombor satu kerana penglibatan langsung dalam pentadbiran tertinggi pasukan polis.

Untuk rekod, Tan Sri Razarudin dilantik secara kontrak selepas bersara pada usia 60 tahun, dan tempoh perkhidmatannya dijangka berakhir pada 22 Jun 2025.

Related Posts